Oleh Yusrin Junaidi, Normazlina M.D., & Hajah Saemah Kepli
BANDAR SERI BEGAWAN, 25 Mei – Untuk meraih kelebihan beribadah di bulan Ramadan, serta bagi memakmurkan rumah Allah dengan sembahyang berjemaah pada waktu Subuh, Program Sembahyang Fardu Subuh berjemaah setiap Jumaat dalam bulan Ramadan tahun 1439H telah diteruskan lagi hari ini, di seluruh negara dengan penumpuan di beberapa buah masjid.
Di Daerah Brunei dan Muara, penumpuan adalah di Masjid Suri Seri Begawan Raja Pengiran Anak Damit, Kampung Manggis/Madang di mana hadir selaku tetamu kehormat majlis ialah Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman.
Hadir sama ialah Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Seri Kerna Dato Seri Setia (Dr) Haji Awang Abu Bakar bin Haji Apong; ahli Majlis Mesyuarat Negara, Yang Berhormat Pengiran Haji Ali bin Pengiran Maon yang juga selaku penghulu Mukim Berakas B; Timbalan Setiausaha Tetap (Dasar dan Keugamaan) di Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU), Haji Serudin bin Haji Timbang dan Timbalan Setiausaha Tetap di Kementerian Perhubungan, Dr Haji Supry bin Haji Awang Ladi.
Turut menjadi tumpuan di daerah ini adalah Masjid Al-Ameerah Al-Hajjah Maryam, Jerudong di mana hadir selaku tetamu kehormat majlis ialah Setiausaha Tetap di KHEU, Dato Seri Setia Haji Abdul Aziz bin Orang Kaya Maharaja Lela Haji Yussof.
Hadir sama ialah Timbalan Setiausaha Tetap (Pentadbiran dan Kewangan) di KHEU, Awang Roslan bin Haji Taja’ah.



Di Daerah Belait, tumpuan program adalah di Masjid Muhammad Jamalul Alam di sini dan hadir selaku tetamu kehormat majlis ialah Pemangku Pegawai Daerah Belait, Haji Mohd Zamree bin Haji Junaidi.
Tumpuan di Daerah Tutong pula adalah di Masjid Pengiran Muda ‘Abdul Wakeel, Kampung Kiudang dan tetamu kehormatnya ialah ahli Majlis Mesyuarat Negara, Yang Berhormat Haji Umarali bin Esong.
Sementara itu, di Daerah Temburong, program tertumpu di Masjid Pengiran Abu Bakar Kampung Bokok dan hadir selaku tetamu kehormat ialah ahli Majlis Mesyuarat Negara, Yang Berhormat Haji Emran bin Haji Sabtu yang juga selaku penghulu Mukim Bokok.
Program di keempat-empat daerah diisikan dengan sembahyang fardu Subuh berjemaah diikuti dengan membaca surah pilihan dan Tadabbur Al-Quran Surah Ad-Dukhan ayat 43 hingga 45.
Antara objektif program anjuran KHEU tersebut adalah bagi meraih kelebihan beribadah dalam bulan Ramadan dan memakmurkan rumah Allah dengan sembahyang berjemaah pada waktu subuh, menghidupkan Sunnah Rasulullah SAW.
Selain itu juga untuk meningkatkan kesedaran dan pengetahuan tentang tuntutan sembahyang berjemaah serta kelebihan yang diperolehi, memupuk perpaduan, persaudaraan sesama umat Islam dan melahirkan masyarakat yang murni dan berbudi pekerti yang mulia.
Program telah bermula Jumaat lalu dan akan diteruskan setiap Jumaat sehingga 8 Jun ini.