BANDAR SERI BEGAWAN, 26 Dis – Jumlah Perdagangan meningkat sebanyak 15.2 peratus tahun ke tahun kepada $933.6 juta; yang terdiri dari eksport ($582.0 juta) dan import ($351.6 juta), berbanding sebanyak $810.5 juta pada bulan Oktober 2016.
Imbangan Perdagangan juga meningkat sebanyak 8.7 peratus tahun ke tahun kepada $230.4 juta dari $211.9 juta pada bulan Oktober 2016.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Jabatan Perancangan dan Kemajuan Ekonomi, di sini, eksport pada bulan Oktober 2017 meningkat sebanyak 13.8 peratus tahun ke tahun daripada $511.2 juta (Oktober 2016) kepada $582.0 juta (Oktober 2017).
Eksport Bahan Api Galian pula mencatatkan sumbangan tertinggi sebanyak 91.6 peratus dari jumlah eksport iaitu daripada Minyak Mentah ($264.9 juta) dan Gas Cecair Asli (LNG) ($266.1 juta).
Menurut kenyataan itu lagi, import barangan pada bulan Oktober 2017 meningkat sebanyak 17.5 peratus tahun-ketahun daripada BND299.3 juta (Oktober 2016) kepada BND351.6 juta (Oktober 2017).
Manakala, lima sumbangan import tertinggi mengikut komoditi adalah Jentera dan Kelengkapan Pengangkutan (25.1 peratus), Barang-Barang Keluaran Kilang (21.4 peratus), Bahan-Bahan Kimia (17.1 peratus), Makanan (12.6 peratus) dan Bahan Api Galian (11.5 peratus).
Pasaran eksport terbesar adalah ke negara Republik Korea sebanyak 23.3 peratus dari jumlah eksport, diikuti oleh Malaysia (17.4 peratus), Taiwan (12.6 peratus), Jepun (12.5 peratus) dan lain-lain. Manakala import terbesar adalah dari negara Malaysia sebanyak 27.7 peratus dari jumlah import, diikuti oleh Singapura (18.9 peratus), China (18.1 peratus), Amerika Syarikat (7.7 peratus) dan lain-lain.
Mengikut Kategori Penggunaan Akhir, Import Barang Perantaraan merangkumi 60.1 peratus dari jumlah import.
Ini diikuti oleh import Barang Modal (31.5 peratus) dan Barang Penggunaan (8.4 peratus).
Perangkaan Perdagangan Barangan Antarabangsa (International Merchandise Trade Statistics, IMTS) bagi Negara Brunei Darussalam menggunakan “General System” bagi merekodkan perangkaan perdagangan yang meliputi import, eksport domestik dan eksport semula. Laporan penuh IMTS bagi bulan Oktober 2017 boleh didapati melalui laman web JPKE di www.depd.gov.bn.