Sunday, June 30, 2024
23.3 C
Brunei

    -

    Imbangan Perdagangan April 2024 meningkat 217.5%

    Oleh Syahmi Hassan

    BANDAR SERI BEGAWAN, 27 JUN – Imbangan perdagangan bagi bulan April 2024 mencatatkan peningkatan sebanyak 217.5 peratus, meningkat daripada $133.0 juta pada April 2023 kepada $422.3 juta. Peningkatan adalah disumbangkan oleh nilai eksport sebanyak $1,413.3 juta dan nilai import sebanyak $991.0 juta. Jumlah perdagangan juga mencatatkan peningkatan sebanyak 72.6 peratus tahun-ke-tahun.

    Penyumbang utama kepada nilai eksport adalah Bahan Api Galian sebanyak 74.5 peratus, diikuti oleh Bahan Kimia sebanyak 23.5 peratus dan Jentera dan Kelengkapan Pengangkutan sebanyak 1.0 peratus.

    Jabatan Perancangan Ekonomi dan StatistIk (JPES) dalam siaran akhbar yang dikeluarkan hari ini, turut menyatakan bahawa pasaran eksport utama adalah Australia iaitu sebanyak 22.6 peratus, diikuti oleh Republik Rakyat China dan Singapura masing-masing sebanyak 20.3 peratus dan 13.9 peratus. Komoditi eksport terbesar ke negara-negara tersebut adalah Bahan Api Galian.

    Manakala, import pada bulan April 2024 bernilai $991.0 juta. Tiga komoditi import utama adalah Bahan Api Galian, menyumbang sebanyak 74.9 peratus, diikuti oleh Jentera dan Kelengkapan Pengangkutan sebanyak 6.8 peratus dan Makanan sebanyak 6.0 peratus.

    Sumbangan terbesar rakan dagangan import adalah dari Malaysia sebanyak 29.3 peratus, diikuti oleh Australia sebanyak 17.9 peratus dan Republik Rakyat China sebanyak 8.5 peratus. Komoditi import utama daripada rakan dagangan adalah Bahan Api Galian, Makanan, dan Barang-Barang Keluaran Kilang.

    Secara keseuluruhan, jumlah perdagangan pada bulan April 2024 mencatatkan peningkatan 6.5 peratus, meningkat daripada $2,258.2 juta pada bulan Mac 2024 kepada $2,404.3 juta. Manakala imbangan perdagangan menurun sebanyak 22.7 peratus, didorong oleh peningkatan import yang lebih tinggi sebanyak 15.8 peratus berbanding peningkatan eksport sebanyak 0.8 peratus.

    Import bagi kategori penggunaan akhir, terutamanya digunakan sebagai Barangan Perantaraan bagi pemprosesan sebanyak 62.9 peratus, diikuti oleh Barangan Modal sebanyak 34.5 peratus bagi operasi perniagaan dan Barangan Penggunaan sebanyak 2.6 peratus bagi kegunaan isi rumah.

    Laporan Perangkaan Perdagangan Barangan Antarabangsa bagi bulan April 2024 boleh didapati melalui laman sesawang JPES di https://deps.mofe.gov.bn.

    – Gambar serahan JPES
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    China pecat bekas menteri pertahanan

    BEIJING, 28 JUN - Bekas menteri pertahanan China, Li Shangfu telah dipecat daripada Parti Komunis yang memerintah kerana menyebabkan ‘kerosakan besar kepada puncanya’ melalui...