Saturday, May 10, 2025
24.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    Imbangan Perdagangan Mac 2024 meningkat

    Oleh Salawati Haji Yahya – 

    BANDAR SERI BEGAWAN, 31 MEI – Imbangan Perdagangan bagi bulan Mac 2024 telah mencatatkan lebihan sebanyak $546.6 juta, meningkat sebanyak 12 peratus berbanding tahun lepas.

    Ia disumbangkan oleh nilai eksport sebanyak $1,402.4 juta dan nilai import sebanyak $855.8 juta, di mana jumlah perdagangan juga mencatatkan peningkatan sebanyak 55 peratus tahun-ke-tahun.

    Penyumbang utama nilai eksport adalah bahan api galian sebanyak 77.5 peratus, diikuti bahan kimia (20.2 peratus) serta jentera dan kelengkapan pengangkutan (1.2 peratus).

    Jabatan Perancangan Ekonomi dan StatistIk (JPES) dalam siaran akhbar yang dikeluarkan hari ini, turut menyatakan Singapura adalah pasaran eksport utama (17.1 peratus), diikuti Australia (17 peratus) dan Jepun (16.6 peratus) di mana komoditi eksport terbesar ke negara-negara tersebut adalah bahan api galian.

    Manakala, import pada bulan Mac 2024 bernilai $855.8 juta, dengan tiga komoditi import utama terdiri daripada bahan api galian (66.1 peratus), diikuti oleh jentera dan kelengkapan pengangkutan (10.7 peratus) dan makanan (8 peratus).

    GAMBAR SERAHAN JPES

    Sumbangan terbesar rakan dagangan import adalah dari Malaysia (42.6 peratus), Australia (10 peratus) dan Republik Rakyat China (9.7 peratus), dengan bahan api galian makanan dan jentera dan kelengkapan pengangkutan sebagai import komoditi utama.

    Secara keseluruhan, jumlah perdagangan pada bulan Mac 2024 mencatatkan $2,258.2 juta berbanding $2,405.5 juta pada bulan Februari 2024. Mod utama pengangkutan adalah melalui pengangkutan laut sebanyak 94.6 peratus, diikuti oleh pengangkutan udara (3.9 peratus) dan pengangkutan darat (1.5 peratus).

    JPES seterusnya mengongsikan bahawa import bagi kategori penggunaan akhir, terutamanya digunakan sebagai barangan perantaraan bagi pemprosesan adalah 59.7 peratus, diikuti barangan modal (36.4 peratus) bagi operasi perniagaan dan barangan penggunaan (3.9 peratus) bagi kegunaan isi rumah.

    Bagi maklumat lanjut, Laporan Perangkaan Perdagangan Barangan Antarabangsa bagi bulan Mac 2024 boleh didapati melalui laman sesawang JPES di https://deps.mofe.gov.bn

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda