Wednesday, May 14, 2025
24.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Imbangan perdagangan Nov 2017 meningkat

    BANDAR SERI BEGAWAN, 29 Jan – Jumlah Perdagangan bulan November Negara Brunei Darussalam meningkat sebanyak 29.6 peratus tahun-ketahun kepada $1,107.6 juta; yang terdiri daripada eksport ($791.5 juta) dan import ($316.1 juta), berbanding sebanyak $854.6 juta pada bulan November 2016.

    Sementara Imbangan Perdagangan juga meningkat sebanyak 72.6 peratus tahun ke tahun kepada $475.4 juta daripada $275.4 juta pada bulan November 2016.

    Menurut kenyataan Jabatan Perancangan dan Kemajuan Ekonomi (JPKE) yang dikeluarkan di sini hari ini, eksport pada bulan November 2017 meningkat sebanyak 40.1 peratus tahun-ketahun daripada $565.0 juta (November 2016) kepada $791.5 juta (November 2017).

    Eksport Bahan Api Galian pula mencatatkan sumbangan tertinggi sebanyak 73.9 peratus daripada jumlah eksport iaitu daripada Minyak Mentah ($261.9 juta) dan Gas Cecair Asli (LNG) ($321.3 juta).

    Pada bulan November 2017, import bara-ngan meningkat sebanyak 9.2 peratus tahun ke tahun daripada $289.6 juta (November 2016) kepada $316.1 juta (November 2017).

    Manakala, lima sumbangan import tertinggi mengikut komoditi adalah Jentera dan Kelengkapan Pengangkutan (29.9 peratus), Barang-Barang Keluaran Kilang (23.7 peratus), Makanan (13.7 peratus), Bahan-Bahan Kimia (12.1 peratus) dan Pelbagai Barang Keluaran Kilang (10.1 peratus).

    Menurut kenyataan itu lagi, pasaran eksport terbesar adalah ke negara Jepun sebanyak 22.6 peratus daripada jumlah eksport, diikuti oleh Switzerland (21.5 peratus), Thailand (17.8 peratus), Singapura (9.9 peratus) dan lain-lain.

    Mengikut Kategori Penggunaan Akhir, Import Barang Perantaraan merangkumi 58.6 peratus daripada jumlah import. Ini diikuti oleh import Barang Modal (32.6 peratus) dan Barang Penggunaan (8.8 peratus).

    Import terbesar adalah dari negara China sebanyak 24.6 peratus daripada jumlah import, diikuti oleh Malaysia (22.3 peratus), Singapura (16.6 peratus), Amerika Syarikat (5.6 peratus) dan lain-lain.

    Perangkaan Perdagangan Barangan Antara-bangsa (International Merchandise Trade Statistics, IMTS) bagi Negara Brunei Darussalam menggunakan ‘General System’ bagi merekodkan perangkaan perdagangan yang meliputi import, eksport domestik dan eksport semula. Laporan penuh IMTS bagi bulan November 2017 boleh didapati melalui laman web JPKE di www.depd.gov.bn.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda