Saturday, January 4, 2025
29.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Imbangi kaedah komunikasi media baharu, tradisional

    Oleh Syahmi Hassan – 

    BANDAR SERI BEGAWAN, 10 OGOS – Walaupun pandemik COVID banyak meninggalkan kesan terhadap kehidupan manusia, kita perlu akur ia telah mempercepatkan transformasi digital seperti dalam bidang kesihatan, perniagaan, pendidikan, kebajikan, ekonomi dan seumpamanya.

    Pandemik yang turut mencetuskan norma baharu itu telah memacu ke arah peluang-peluang inovasi.

    Sehubungan dengan itu, kita mesti melihat bagaimana teknologi terutama teknologi telekomunikasi boleh membantu ke arah mempercepatkan agenda dan tujuan ke arah komuniti ASEAN yang lebih berdaya tahan dan bermaklumat.

    Pemangku Pengarah Penerangan, Dayang Siti Bismi Nuruliman binti Haji Awang Emzah menekan perkara tersebut dalam ucapannya semasa mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Kecil Penerangan (SCI) Komiti ASEAN Mengenai Kebudayaan dan Penerangan ke-24 di sebuah hotel di Gadong.

    Mesyuarat yang berlangsung secara fizikal dan dalam talian selama dua hari yang berakhir kelmarin itu dihadiri oleh para delegasi dari negara-negara anggota ASEAN yang mana Negara Brunei Darussalam telah menjadi tuan rumah mesyuarat tersebut.

    Dayang Siti Bismi Nuruliman bergambar ramai semasa Mesyuarat SCI Komiti Asean Mengenai Kebudayaan dan Penerangan ke-24. – Gambar serahan Jabatan Penerangan – Gambar oleh Syahmi Hassan
    Mesyuarat SCI Komiti Asean Mengenai Kebudayaan dan Penerangan ke-24. – Gambar oleh Syahmi Hassan
    Welcoming dinner – Gambar oleh Syahmi Hassan
    Lawatan ke Daerah Temburong – Gambar oleh Syahmi Hassan
    Lawatan ke Hab Tenaga Brunei Dermaga Diraja 2 – Gambar oleh Syahmi Hassan

    Dayang Siti Bismi Nuruliman turut menekankan, sejajar dengan kelebihan yang dibawa oleh pendigitalan, masyarakat juga perlu berhati-hati dan berwaspada dengan risiko yang datang bersamanya.

    Dalam era digital ini, katanya, kita perlu mengimbangi kaedah berkomunikasi di antara media baharu dan media tradisional dalam membarigakan maklumat.

    Beliau dalam ucapannya juga menyambut baik usaha-usaha negara-negara anggota SCI dalam menyediakan projek-projek yang relevan dalam penyiaran, pemberitaan dan pertukaran maklumat.

    Dalam meraikan ulang tahun ke-56, ASEAN akan mengukuhkan lagi kerjasama dan sokongan dalam kalangan negara-negara anggota ASEAN dan rakan-rakan dialog ke arah ASEAN yang lebih stabil dan makmur selaras dengan ACMP II.

    Sementara itu, Undersecretary of State, Kementerian Penerangan Kemboja, Has Sam Ath selaku naib pengerusi mesyuarat turut menyampaikan ucapan dan mengalu-alukan kehadiran para perwakilan ke Mesyuarat SCI Komiti ASEAN Mengenai Kebudayaan dan Penerangan ke-25.

    Kerajaan Kemboja akan menjadi tuan rumah bagi mesyuarat yang akan datang pada tahun 2024.

    Mesyuarat turut dihadiri oleh perwakilan dari Sekretariat ASEAN. Mewakili Brunei, Pemangku Timbalan Pengarah Penerangan, Dayang Sastra Sarini binti Haji Julaini dan Pemangku Pegawai Pentadbir Tingkat Khas, Jabatan Radio Televisyen Brunei, Awang Mohamad Syazwan bin Nordin.

    Sejurus mesyuarat selesai, Majlis Penghargaan bagi Projek Pertukaran Informasi ASEAN 2022 juga diadakan dengan penyampaian sijil dan hadiah penghargaan kepada para pemenang yang disampaikan oleh Dayang Siti Bismi Nuruliman.

    Projek Pertukaran Informasi ASEAN 2022 diusulkan oleh Thailand bertujuan untuk mewujudkan satu platform bagi berkongsi berita dan pelbagai bentuk maklumat media, seperti klip video, artikel dan maklumat grafik setiap bulan di antara negara anggota ASEAN.

    Projek itu pertama kali diadakan pada April 2022 hingga April 2023, kemudian dilanjutkan hingga 31 Oktober 2023, di mana dua kategori dipertandingkan, iaitu Kategori Top Sharers dan Kategori Top Submitters.

    Dalam 12 mesyuarat yang diadakan secara dalam talian, pada keseluruhannya sebanyak 299 maklumat media diserahkan dan 425 maklumat media dikongsikan.

    Myanmar dinobatkan sebagai johan bagi Kategori Top Sharers sementara Negara Brunei Darussalam menduduki naib johan dan tempat ketiga disandang oleh Thailand. Honorable Mentions diberikan kepada Republik Indonesia, Republik Demokratik Rakyat Laos dan Republik Sosialis Viet Nam.

    Bagi Kategori Top Submitters, Republik Indonesia muncul johan manakala Negara Brunei Darussalam menyandang naib johan dan tempat ketiga diraih oleh Republik Sosialis Vietnam. Malaysia, Myanmar dan Thailand diberikan Honorable Mentions.

    Para delegasi juga berkesempatan mengadakan lawatan ke beberapa buah tempat menarik di Negara Brunei Darussalam seperti Hab Tenaga Brunei Dermaga Diraja, menelusuri Jambatan Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddien yang terpanjang di Asia Tenggara dan lain-lain.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda