Sabtu, 22 November 2025
23.4 C
Brunei

    Berita Terkini

    Imbangi keperluan tenaga dengan pemuliharaan iklim

    RAMPAL, BANGLADESH – Ikan, padi, pokok bakau dan tanah lembap delta su-bur di mana sungai Ganges, Brahmaputra dan Meghna menyalir ke Teluk Bengal.

    Ia bukan sesuatu yang kelihatan mewah. Namun bagi petani dan nelayan yang tinggal di hutan paya bakau terbesar di dunia, ia lebih daripada cukup. Kini, alam sekitar berkenaan berdepan ancaman.

    Sebuah loji tenaga akan mula membakar arang batu berhampiran Sundarbans pada tahun ini sebagai sebahagian daripada rancangan Bangladesh untuk memenuhi keperluan tenaganya dan mempertingkat taraf hidup penduduk, menurut pegawai. Tempat tinggal kepada 168 juta orang, Bangladesh adalah antara negara yang mempunyai penduduk paling padat di dunia. Sebaik sahaja loji tenaga mula beroperasi pada kapasiti penuh, ia akan menghasilkan 1,320 megawat tenaga, sama dengan jumlah yang dihasilkan oleh kilang tenaga arang batu terbesar di Bangladesh sekarang.

    Dunia membangun memerlukan penduduknya menjalani kehidupan lebih baik. Namun pertumbuhan ekonomi yang menggunakan bahan fosil boleh menimbulkan masalah alam sekitar dan menjadikan kehidupan lebih teruk.

    Lebih dikenali sebagai loji tenaga arang batu Rampal, Projek Tenaga Terma Maitree akan membakar kira-kira 4.7 juta tan arang batu setahun, melepaskan 15 juta tan karbon dioksida dan gas pemanasan planet lain. Selain itu, kira-kira 12,000 tan arang batu akan dihantar menerusi Sundarbans setiap hari, sekali gus menimbulkan kebimbangan mengenai pencemaran air.

    Penduduk tempatan bekerja di Sundarbans, hutan bakau terbesar dunia, berhampiran Projek Tenaga Terma Maitree di Rampal, Bangladesh. – AP
    Bot ditambat berdekatan rumah di Sundarbans di Rampal, Bangladesh. – AP
    Arang batu disimpan untuk Projek Tenaga Terma Maitree berdekatan Sundarbans. – AP

    Projek Tenaga Termal Maitree terletak berhampiran Sundarbans, di Rampal, Bangladesh. – AP
    Kapal dengan arang batu berlabuh berdekatan Sundarbans. – AP
    Penduduk tempatan menangkap ikan di Sundarbans. – AP

    Bangladesh telah pun dilanda siklon tropika dan kenaikan paras laut serta jutaan penduduk menghadapi risiko kehilangan tempat tinggal akibat banjir dan cuaca ekstrem lain. Dua minggu lalu, 24 orang terbunuh, 20,000 terkandas, 10,000 penduduk hilang tempat tinggal dan 15,000 ekar tanaman musnah akibat siklon tropika Sitrang.

    “Jika keadaan bertambah teruk, kami terpaksa menjual harta kami dan berhijrah,” kata petani Luftar Rahman.

    Saintis berkata projek bahan api fosil baharu tidak boleh dilaksanakan sekiranya dunia perlu mengehadkan matlamat pemanasan suhu kepada 1.5 darjah Celsius yang ditetapkan dalam Perjanjian Paris. Walaupun ia adalah negara pengeluaran paling rendah di dunia, Bangladesh telah berjanji akan mengurangkan pelepasan sebanyak 22 peratus menjelang 2030. Pembinaan loji tenaga arang batu ini mungkin menghambat usaha negara itu untuk mengurangkan pelepasan gas rumah hijau.

    Namun pada Oktober, kira-kira 80 peratus daripada negara mengalami bekalan elektrik terputus selama tujuh jam apabila grid tenaganya lumpuh. Bekalan elektrik terputus yang berpanjangan, ada kalanya selama 10 jam sehari, menjejas perniagaan termasuk industri pakaian, yang menyumbang kepada 80 peratus eksport. Bangladesh ialah pengeksport pakaian kedua terbesar dunia, selepas China.

    “Kami menunggu untuk memulakan penghasilan tenaga di Rampal. Kilang itu pastinya akan membantu mengurangkan krisis tenaga kami,” kata Tawfiq-e-Elahi Chowdhury, Penasihat Tenaga kepada Perdana Menteri Bangladesh.

    Bangladesh mahu negara miskin menerima dana untuk membantu menyesuaikan diri kepada kesan suhu yang semakin panas. Sehingga Mei tahun lalu, Bangladesh adalah pengerusi Forum Iklim, gabungan negara yang mudah terdedah kepada pemanasan. Dengan sebahagian besar tanahnya di bawah paras laut, negara itu telah pun mengalami banjir teruk dan turunan hujan yang tidak menentu. Laporan Bank Dunia meramalkan Bangladesh mungkin mengalami kerosakan bernilai AS$570 juta akibat cuaca ekstrem berkaitan perubahan iklim.

    Pada Jun, Bangladesh berhenti mengendalikan loji tenaga diesel disebabkan kenaikan harga bahan api. Bangladesh mempunyai dua loji arang batu, dan beberapa pakar berkata sebuah loji tambahan tidak diperlukan.

    “Kami perlu melabur dalam sistem pengagihan tenaga yang cekap. Ia adalah lebih bermanfaat kepada negara buat masa sekarang,” kata Khondaker Golam Moazzem dari Pusat Dialog Dasar.

    Negara itu juga mempunyai sumber lebih besar.

    “Bangladesh mempunyai potensi besar untuk gas asli. Usaha mencari gali luar pesisir dan pengeluaran sumber asli boleh menjadi pilihan lebih baik berbanding arang batu,” kata ahli ekonomi dan aktivis alam sekitar, Anu Mohammad.

    Tenaga boleh diperbaharui telah pun menjana jutaan rumah penduduk Bangladesh.

    “Bangladesh telah pun memiliki salah satu sistem solar rumah paling pantas,” kata Saleemul Haq, Pengarah Pusat Antarabangsa untuk Perubahan Iklim dan Pembangunan. “Satu lagi pilihan adalah tenaga angin luar pesisir. Dengan teknologi terbaharu, tenaga angin dapat dibangunkan di Teluk Bengal dan memenuhi keperluan bukan sahaja penduduk Bangladesh tetapi juga rantau di India dan Myanmar.”

    Lombong arang batu Rampal akan dibiayai oleh kerajaan Bangladesh dan India. Sundarbans dipilih disebabkan kemudahan air dan penyaliran yang sedia ada, kata pegawai. Arang batu untuk loji tenaga juga diperoleh dari India.

    Sundarbans, ‘hutan indah’ dalam bahasa Bengali, berevolusi daripada sungai utama di benua kecil India sejak beberapa ribu tahun lalu. Sungai Ganga, Brahmaputra dan Meghna mengeluarkan mendapan yang terkumpul beribu-ribu batu jauhnya dari Himalaya ke lautan India.

    “Hutan paya bakau adalah sekatan semula jadi kepada kesan perubahan iklim dan sekiranya ia terjejas, maka 10 juta penduduk yang menetap di rantau delta ini juga akan terkesan,” kata Anu Mohammad.

    “Terdapat banyak alternatif kepada pengeluaran tenaga. Namun tidak adanya alternatif kepada Sundarbans.”

    Hutan bakau adalah lebih efektif berbanding hutan daratan dari segi penyerapan karbon dioksida dari atmosfera.

    “Dalam era datuk saya, semua padi yang diperlukan dituai dari tanah kami. Terdapat beras dan ikan yang cukup untuk semua orang,” kata Abul Kalam, 60 tahun, yang telah menetap seumur hidupnya di Sundarbans.

    “Jika loji tenaga ini dibina, tidak akan adanya ikan di rantau kami. Bagaimana kami boleh bercucuk tanam apabila mereka membuang air toksik di sini?” – AP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda