Tuesday, May 13, 2025
27.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Imbas kisah cinta lama?

    Video muzik lagu duet terbaru Hafiz Suip dan Adira Suhaimi, Takdir Tercipta, dikatakan seperti mengimbas kembali kisah cinta dua penyanyi berkenaan, suatu masa dahulu.

    Kedua-dua penyanyi berkenaan pernah menarik perhatian peminat bukan sahaja menerusi lagu paduan suara, malah kisah peribadi mereka juga mencuri tumpuan ramai. Bagaimanapun Hafiz berkata, cerita dipaparkan dalam klip terbabit adalah kisah yang melengkapkan lagi lirik lagu hasil ciptaan Ikhwan Fatanna dan Ayden Ali itu.

    “Kalau kita amati video muzik lagu ini, ia tidak ubah seperti sebuah drama. Ia mempunyai jalan ceritanya tersendiri. Terpulang kepada masing-masing untuk menterjemahkan kisah dipaparkan di dalamnya. Saya dan Adira menunaikan tanggungjawab yang diletakkan ke bahu kami dengan cukup profesional. Saya percaya, kisah yang ditonjolkan berkaitan dengan lagu dan liriknya. Secara peribadi pula, saya menganggap video muzik ini sebagai hadiah buat peminat yang tidak pernah berhenti menyokong kerjaya kami, sejak dahulu hingga kini,” kata Hafiz kepada media.

    Adira pula berharap video muzik terbabit, yang dikongsi menerusi YouTube baru-baru ini, dapat diterima baik oleh peminat, sekali gus mengubat kerinduan mereka terhadap gandingan dirinya dan Hafiz.

    “Apabila lagu ini dilancarkan pada 9 September lalu, ramai yang bertanya, bila pula video muziknya akan dikeluarkan? Jadi, kini video muzik lagu itu sudah dikongsi dan diharap peminat akan menyukainya. Bagi saya, video ini mempunyai keistimewaan tersendiri, menerusi jalan cerita yang dipaparkan,” kata ibu kepada tiga cahaya mata itu.

    Video muzik Takdir Tercipta yang diilhamkan sepenuhnya oleh Hafiz, yang juga bapa kepada seorang anak lelaki, mendapat sentuhan pengarah, Bobong Latif. Ia adalah kerjasama pertama dua artis berbakat berkenaan, selepas empat tahun tidak berbuat demikian. – Agensi

    Kedua-dua penyanyi berkenaan pernah menarik perhatian peminat bukan sahaja menerusi lagu paduan suara, malah kisah peribadi mereka juga mencuri tumpuan ramai. – Agensi
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda