Oleh Haji Mohd Daud Abdul Rahman
TERDAPAT banyaknya tapak-tapak bersejarah dan bangunan-bangunan lama di negara ini khususnya yang dibina dalam tahun 1948, antaranya ialah bangunan kedai-kedai dan panggung wayang lama, stesen balai polis berhadapan Padang Besar, rumah-rumah kerajaan untuk anggota polis, Masjid Kajang, stesen tenaga elektrik, tapak Makam Raja Ayang dan Bangunan Hotel Brunei.
Padang Besar pada ketika itu, selalu digunakan untuk menunaikan hari-hari kebesaran Islam seperti Sembahyang Sunat Hari Raya Aidilfitri dan juga Sembahyang Sunat Hari Raya Aidiladha, semasa masjid belum lagi didirikan. Begitu juga dengan acara-acara senaman ramai daripada murid-murid sekolah rendah, peraduan tarik kalat dan perlawanan bola sepak antara jabatan-jabatan kerajaan yang diadakan pada setiap hari minggu sambil disaksikan oleh pemuda-pemuda dan juga pengunjung di sekitarnya.
Selain itu, Padang Besar juga digunakan bagi acara-acara bersejarah negara seperti Sambutan Hari Keputeraan Al-Marhum Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddien Sa’adul Khairi Waddien di mana ia menjadi tumpuan masyarakat dari pelbagai kaum di negara ini. Manakala di sekeliling padang tersebut, terdapatnya gerai-gerai jualan yang diusahakan oleh masyarakat Melayu, Tionghua dan juga India. Antara barangan yang dijual adalah berupa makanan dan minuman.


