Thursday, February 6, 2025
22.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    IMF bakal lulus pinjaman Ukraine

    WASHINGTON, 29 Nov – Lembaga Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) akan mengadakan pertemuan bagi meluluskan perjanjian pinjaman baharu Ukraine sejurus selepas 10 Disember, sebaik sahaja negara itu melaksanakan langkah utama termasuk menambah harga gas dan gas haba, menurut ketua IMF Christine Lagarde semalam.

    Lagarde mengeluarkan satu kenyataan selepas perbualan telefon bersama Presiden Ukraine Petro Poroshenko, yang sebelum ini mengenakan perintah tentera selama 30 hari di tengah konflik yang semakin meningkat dengan Rusia.

    Kenyataan IMF tidak menyebut mengenai konflik berkenaan, yang meletus selepas Rusia menawan tiga buah kapal Ukraine baru-baru ini.

    “Kami mengesahkan hubungan yang positif di antara Ukraine dan IMF,” kata Lagarde selepas panggilan.

    IMF pada bulan lalu mencapai satu perjanjian dengan Kiev mengenai dasar ekonomi yang akan membuka perjanjian pinjaman baharu yang akan menyediakan hampir AS$4 bilion dalam tempoh 14 bulan.

    Gambar fail pada 4 Oktober 2018 menunjukkan Christine Lagarde semasa berucap pada sidang media di Tokyo. Menurut Lagarde, IMF akan mengadakan pertemuan bagi meluluskan perjanjian pinjaman baharu Ukraine sejurus selepas 10 Disember. – AFP

    “Semua tindakan awal dijangka diselesaikan oleh pihak berkuasa Ukraine pada 10 Disember 2018, dan satu mesyuarat lembaga eksekutif untuk membincangkan persediaan pengaturan yang akan diadakan sejurus selepas itu,” kata Lagarde.

    Satu langkah utama adalah kelulusan belanjawan 2019 pada minggu lalu dengan defisit berjumlah kira-kira 2.3 peratus daripada KDNK.

    Satu kenaikan harga gas merupakan isu yang sensitif untuk negara itu tatkala pemimpin pro-Barat menghadapi pilihan raya presiden dan parlimen pada tahun 2019.

    Namun IMF telah menekankan keperluan untuk terus melindungi keluarga yang berpendapatan rendah.

    Ukraine masih belum menerima sebarang wang daripada IMF sejak April 2017, apabila dana tersebut mengeluarkan AS$1 bilion untuk negara itu membayar balik pinjaman.

    Ia telah menerima kurang AS$9 bilion daripada pakej asal berjumlah AS$17.5 bilion. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda