WASHINGTON, 10 APRIL – Mesyuarat pada musim bunga antara Bank Dunia dan Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) akan berlangsung akhir minggu ini dengan agenda reformasi dan pengumpulan dana yang bercita-cita tinggi mungkin dibayangi oleh kebimbangan terhadap inflasi yang tinggi, ketegangan geopolitik yang meningkat dan kestabilan kewangan.
IMF menjangkakan pertumbuhan global akan jatuh di bawah tiga peratus tahun ini, dan kekal hampir tiga peratus untuk setengah dekad akan datang, ramalan jangka sederhana yang terendah sejak 1990an.
Hampir 90 peratus daripada ekonomi maju dunia akan mengalami pertumbuhan perlahan tahun ini, manakala pasaran sedang pesat membangun Asia dijangka menyaksikan peningkatan ketara dalam pengeluaran ekonomi dengan India dan China diramalkan menyumbang separuh daripada semua pertumbuhan, katanya.
Negara berpendapatan rendah dijangka mengalami kesan daripada kos pinjaman yang lebih tinggi dan penurunan dalam permintaan untuk eksport mereka, menurut Pengarah urusan IMF, Kristalina Georgieva yang boleh meningkatkan kemiskinan dan mencetuskan kelaparan.
Unjuran pertumbuhan yang dikemas kini yang diterbitkan dalam IMF’s World Economic Outlook pada Selasa lalu memberikan gambaran yang lebih luas tentang cara negara yang berbeza untuk bertahan, dan memperincikan cabaran fiskal dan kewangan kepada ekonomi global.
Mesyuarat pada musim bunga tahun ini akan diadakan dengan latar belakang inflasi yang tinggi dan kebimbangan berterusan tentang kestabilan sektor perbankan berikutan kejatuhan yang dramatik Bank Silicon Valley di Amerika Syarikat. – AFP


