Jumaat, 21 November 2025
24.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    IMF kekalkan unjuran pertumbuhan ekonomi global

    Oleh Salawati Haji Yahya

    BANDAR SERI BEGAWAN, 21 DIS – International Monetary Fund (IMF) telah mengekalkan unjuran pertumbuhan ekonomi global bagi tahun 2022 pada kadar 3.2 peratus dan unjuran pertumbuhan bagi tahun 2023 menurun daripada 2.9 peratus kepada 2.7 peratus.

    Ini dikongsikan dalam kenyataan Dasar 2/2022 yang dikeluarkan oleh Brunei Darussalam Central Bank (BDCB) yang kedua bagi tahun 2022, hari ini.

    Kenyataan itu juga menjelaskan, pengemaskinian mengambil kira perkembangan ekonomi global yang semakin merosot didorong oleh pelbagai kejutan terhadap ekonomi dunia yang masih belum pulih sepenuhnya dari kesan pandemik COVID-19.

    Ini termasuk pertumbuhan ekonomi Republik Rakyat China yang lebih perlahan di sebabkan kes COVID yang berlarutan dan peraturan ketat COVID serta isu hartanah negara selain kadar inflasi global yang lebih tinggi dari jangkaan.

    Ini terutamanya di beberapa ekonomi utama dan maju serta kesan negatif daripada konflik Ukraine-Rusia.

    Sementara ekonomi domestik telah mencatat penurunan sebanyak 4.3 peratus bagi separuh pertama tahun 2022 manakala kadar inflasi domestik dan global kekal tinggi dalam tempoh terdekat.

    Selain mengambil kira dasar kewangan Negara Brunei Darussalam serta persamaan nilai Dolar Brunei dan nilai Dolar Singapura, beberapa langkah pengetatan dasar kewangan yang telah dilaksankan oleh Autoriti Monetari Singapura (MAS) pada tahun ini dijangka akan mengurangkan impak kadar inflasi yang diimport kepada ekonomi domestik.

    BDCB juga mengongsikan, unjuran inflasi BDCB bagi negara tahun 2022 adalah dalam lingkungan 3.5 peratus hingga 4.5 peratus.

    Sementara itu, BDCB juga memaklumkan yang sektor kewangan merekodkan kadar pertumbuhan nilai aset keseluruhan sebanyak 5.9 peratus tahun ke tahun dengan nilai $24.8 bilion pada suku ketiga tahun 2022.

    Daripada jumlah tersebut, aset kewangan Islam sebanyak 60.3 peratus bersamaan dengan $15 bilion dan sebanyak 92.6 peratus daripada jumlah keseluruhan aset sektor kewangan adalah dari institusi penerima deposit dengan nilai aset berjumlah $23 bilion.

    Dalam kenyataan dasar juga menjelaskan, modal industri perbankan pada suku ketiga tahun 2022, kekal kukuh dan berdaya tahan dengan agregat Capital Adequacy Ratio sebanyak 20.1 peratus.

    Walaupun dengan peningkatan ketidaktentuan pasaran global, keuntungan industri perbankan telah merekodkan penurunan pada suku ketiga tahun 2022 dengan agregat nisbah Pulangan kepada Aset dan Pulangan kepada Ekuiti, masing-masing sebanyak 1.1 peratus dan 8.4 peratus yang mana berbanding dengan 1.5 peratus dan 9.5 peratus pada tahun sebelumnya.

    Sebagai usaha berterusan BDCB untuk memperkukuhkan pemantauan dan mengurangkan sebarang kemungkinan kejadian penipuan di sektor kewangan, Notis bagi Pelaporan Kejadian Penipuan telah diperkenalkan kepada bank, syarikat kewangan, syarikat insurans dan pengendali takaful.

    Sehubungan itu, Guidelines on Operational Risk Management juga telah dikeluarkan kepada semua bank yang mana garispanduan ini mengandungi prinsip dan amalan baik dalam Pengurusan risiko yang berkaitan dengan operasi perbankan.

    Selain itu, Notice on Maintenance of Capital Adequacy Ratio juga telah diperkenalkan kepada syarikat kewangan untuk memastikan tahap modal mencukupi terhadap risiko yang dikenalpasti di bawah Rangka Kerja Kecukupan Modal.

    BDCB juga telah mengeluarkan garispanduan piawaian Syariah bagi Tawarruq, Murabahah, Wakalah dan Mudharabah sebagai rujukan institusi kewangan dalam mensturktur produk atau perkhidmatan kewangan menurut Hukum Syara’.

    Ini adalah untuk memastikan peraturan yang berkaitan dengan kewangan Islam adalah setaraf dengan amalan terbaik antarabangsa.

    Selain memperkenalkan Notis Proses Permohonan Produk Islam bagi tujuan untuk menerangkan proses kebenaran bagi permohonan produk kewangan Islam dan memudahcara sebarang permohonan kebenaran produk takaful seperti yang digariskan dalam notis berkenaan iaitu Guidelines on Product Deveopment and Pricing.

    Kenyataan Dasar BDCB 1/2022 yang lengkap boleh didapati melalui laman web BDCB di www.bdcb.giv.bn dan untuk maklumat lanjut dan pertanyaan, orang ramai boleh menghubungi BDCB di talian 8318388 atau melalui email info@bdcb.gov.bn.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda