Saturday, July 12, 2025
30.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    IMF naikkan unjuran pertumbuhan ekonomi Britain

    LONDON, 28 MEI – Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) kelmarin telah menaikkan unjuran pertumbuhan ekonomi Britain bagi 2025 kepada 1.2 peratus, meningkat berbanding unjuran 1.1 peratus yang dibuat pada April lalu.

    IMF mengaitkan semakan itu dengan pemulihan ekonomi di Britain, dan pertumbuhan dijangka memperoleh momentum selepas kelembapan pada separuh kedua tahun 2024.

    Data awal menunjukkan ekonomi Britain mencatat prestasi melebihi jangkaan pasaran pada suku pertama 2025, lapor Xinhua.

    IMF turut mengunjurkan ekonomi negara itu akan berkembang 1.4 peratus pada 2026, disokong oleh beberapa faktor termasuk pelonggaran dasar monetari, peningkatan kekayaan isi rumah, keyakinan pengguna bertambah baik serta peningkatan perbelanjaan awam seperti yang digariskan dalam Belanjawan Oktober.

    Namun, IMF turut memberi amaran mengenai beberapa risiko yang boleh menjejaskan prospek, termasuk ketegangan perdagangan global, kelembapan aktiviti ekonomi dalam kalangan rakan dagang Britain, dan kesan langsung daripada tarif AS yang masih berkuat kuasa.

    IMF menganggarkan ketegangan perdagangan global boleh mengurangkan KDNK Britain sebanyak 0.3 peratus menjelang 2026.

    IMF turut menekankan keadaan kewangan yang lebih ketat daripada jangkaan, digabungkan dengan peningkatan kecenderungan isi rumah untuk menyimpan secara berhati-hati, boleh menjejaskan pemulihan perbelanjaan swasta dan melambatkan pemulihan ekonomi.

    Sementara itu, IMF menyatakan strategi fiskal kerajaan Britain bagi tempoh lima tahun akan datang menyokong pertumbuhan dengan baik sambil mengekalkan kemampanan fiskal. – Bernama

    Kristalina Georgieva, bercakap semasa mesyuarat IMF, di Washington, pada 23 April. – AP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda