Sabtu, 22 November 2025
23.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    IMF naikkan unjuran pertumbuhan ekonomi global

    WASHINGTON, 30 JULAI – Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) menaikkan unjuran pertumbuhan ekonomi global untuk 2025 kepada tiga peratus, iaitu peningkatan sebanyak 0.2 mata peratusan, lapor agensi berita Jerman dpa.

    Bagi 2026, IMF kini menjangkakan pertumbuhan global sebanyak 3.1 peratus, sedikit lebih tinggi daripada anggaran sebelumnya iaitu tiga peratus.

    Menurut IMF kelmarin, peningkatan unjuran itu didorong oleh aktiviti perniagaan yang kukuh menjelang tarif yang dijangka dikenakan, tarif yang lebih rendah daripada yang dibimbangi akan dikenakan Amerika Syarikat (AS) , keadaan kewangan yang bertambah baik iaitu sebahagiannya disebabkan oleh kelemahan dolar, serta rangsangan fiskal di negara utama seperti China, Jerman dan AS.

    IMF turut menyatakan pandangan yang sedikit lebih optimistik terhadap ekonomi AS, iaitu ekonomi terbesar dunia.

    Ia kini menjangkakan pertumbuhan ekonomi AS sebanyak 1.9 peratus pada 2025, meningkat 0.1 mata peratusan daripada unjuran April lepas.

    Peningkatan tersebut mencerminkan pengurangan tarif baru-baru ini, walaupun IMF memberi amaran yang permintaan domestik sedang merosot lebih cepat daripada yang dijangkakan.

    Bagi 2026, IMF menjangka insentif cukai akan merangsang pelaburan korporat, justeru menaikkan unjuran pertumbuhan AS kepada dua peratus, meningkat 0.3 mata peratusan.

    Tekanan inflasi kekal menjadi kebimbangan di AS dan IMF telah memberi amaran tarif yang dikenakan oleh Presiden Donald Trump menyebabkan kos import meningkat, sekali gus menaikkan kos pengeluaran.

    Kos itu dijangka akan dipindahkan kepada pengguna yang boleh mendorong inflasi lebih tinggi sehingga hujung tahun. – Bernama

    Gambar fail ini menunjukkan logo Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) dipaparkan di luar ibu pejabatnya di Washington, DC, pada 8 Oktober 2022. – AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda