IMF seru El Salvador timbang keputusan

SAN SALVADOR, 23 NOV – Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) semalam memberi amaran kepada El Salvador bagi penggunaan Bitcoin sebagai mata wang rasmi disebabkan oleh risiko berkaitan dengan mata wang kripto, sehari selepas negara tersebut mengumumkan rancangan untuk menjadi ‘Bandar Bitcoin’ pertama di dunia.

El Salvador, yang menggunakan mata wang dolar AS selama dua dekad, menjadi negara pertama di dunia pada September untuk membenarkan Bitcoin sebagai mata wang sah.

“Disebabkan naik turun harga Bitcoin adalah tinggi, menggunakannya sebagai mata wang akan memberikan risiko signifikan untuk perlindungan pelanggan, integriti kewangan dan kestabilan kewangan,” menurut kenyataan IMF selepas merumuskan misi pemantauan ke atas negara tersebut.

“Penggunaannya juga akan menyebabkan peningkatan liabiliti kebergantungan fiskal kerana risiko tersebut, Bitcoin tidak sepatutnya digunakan sebagai mata wang sah.

Pemberi pinjaman yang berpangkalan di Washington itu memberikan saranan ‘menghalusi skop undang-undang Bitcoin’ dan menyeru ‘mengukuhkan peraturan dan pengawasan cara pembayaran baharu’.

Kenyataan IMF dibuat sehari selepas Presiden Nayib Bukele berkata El Salvador merancang untuk membangunkan ‘Bandar Bitcoin’ dijana oleh gunung berapi dan dibiayai oleh bon mata wang kripto. – AFP

Presiden NayibBukele semasa acara penutup kongres bagi pelaburan mata wang kripto di Santa Maria Mizata. IMF memberi amaran menggunakan bitcoin sebagai mata wang rasmi akan memberi risiko terhadap pelindungan pelanggan. – AP