BEIJING, 23 APRIL – Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) dalam Laporan Tinjauan Ekonomi Dunia (WEO) terkini menurunkan unjuran pertumbuhan global bagi 2025 kepada 2.8 peratus, susut sebanyak 0.5 mata peratusan berbanding anggaran Januari lepas, lapor Xinhua.
“Sejak kemas kini WEO Januari, beberapa langkah tarif baharu oleh Amerika Syarikat (AS) serta tindak balas daripada rakan dagang telah diumumkan dan dilaksanakan,” menurut laporan itu, yang menyifatkan tarif timbal balik oleh AS pada 2 April sebagai ‘hampir menyeluruh’ dan ‘tidak pernah disaksikan dalam tempoh satu abad.’
“Langkah ini sahaja merupakan kejutan negatif utama terhadap pertumbuhan,” menurut IMF dalam ringkasan eksekutif WEO April 2025.
Berdasarkan unjuran rujukan yang mengambil kira maklumat sehingga 4 April, pertumbuhan global dijangka merosot kepada 2.8 peratus pada 2025 dan tiga peratus pada 2026 – menyusut lebih rendah berbanding unjuran 3.3 peratus bagi kedua-dua tahun dalam kemas kini Januari serta jauh di bawah purata sejarah 3.7 peratus (2000 – 2019), menurut laporan terkini WEO.
Pertumbuhan di AS dijangka perlahan kepada 1.8 peratus, turun 0.9 mata peratusan berbanding ramalan Januari, disebabkan ‘ketidaktentuan dasar yang lebih tinggi, ketegangan perdagangan dan momentum permintaan yang lemah,’ menurut laporan itu. – Bernama
