KUALA LUMPUR, 1 JAN – Serbuan yang dijalankan Jabatan Imigresen di Little India, Brickfields di sini membuahkan hasil apabila lebih 100 warga asing ditahan atas beberapa kesalahan di bawah Akta Imigresen daripada keseluruhan 370 orang yang diperiksa.
Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Jabatan Imigresen, Jafri Embok Taha berkata
370 individu yang diperiksa terdiri daripada warga India, Bangladesh, Filipina, Pakistan, Sri Lanka, Indonesia, Myanmar dan Nepal berusia dari 25 tahun hingga 71 tahun, dengan 335 daripadanya lelaki dan 35 wanita.
Beliau berkata serbuan ke atas lebih 30 premis itu membabitkan kediaman, kedai pakaian, restoran, kedai gunting rambut, kedai barang kecantikan dan kedai serbaneka di sekitar Jalan Thamby Abdullah, turut disertai Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) serta Angkatan Pertahanan Awam (APM).
“Dalam operasi ini, lebih 100 pendatang tanpa izin yang ditahan dan dibawa ke Depot Tahanan Jabatan Imigresen di Semenyih untuk disiasat mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966, Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 dan Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007.
Ini kerana mereka melakukan kesalahan antaranya tidak mempunyai dokumen perjalanan yang sah, tinggal lebih masa dan pemegang kad yang tidak diiktiraf,” katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas operasi yang berlangsung selama tiga jam bermula pada 1 tengah hari tadi yang disertai seramai 224 anggota Imigresen, JPN dan APM.
Jafri Embok berkata serbuan itu adalah susulan aduan daripada orang ramai berhubung kebanjiran warga asing di kawasan berkenaan. – Bernama
