Saturday, February 22, 2025
23.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Imigresen tumpas sindiket penipuan dalam talian didalangi warga asing

    PUTRAJAYA, 20 FEB – Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) menumpaskan sindiket penipuan dalam talian didalangi warga asing selepas menahan 46 individu dari pelbagai negara dalam serbuan di 17 unit premis kediaman mewah di Kuchai Lama, Kuala Lumpur semalam.

    Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) JIM, Jafri Embok Taha berkata dalam serbuan kira-kira 11:30 pagi itu, kesemua warga asing yang ditahan berusia lingkungan 23 hingga 54 tahun dari China, Indonesia, Myanmar, Bangladesh, Laos dan Thailand.

    “Berdasarkan maklumat awam dan risikan yang dijalankan hampir tiga minggu, premis itu telah disewa sindiket untuk dijadikan pusat panggilan bagi memperdayakan mangsa dengan tawaran pembelian emas, hartanah, kapal mewah, pelaburan saham dan mata wang asing yang tidak wujud.

    “Mereka bukan sahaja menyasarkan warga tempatan tetapi turut menjangkau pelanggan atau mangsa dari luar negara terutamanya dari negara mereka sendiri,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

    Jafri berkata sindiket yang dipercayai telah beroperasi hampir tiga bulan itu menggunakan aplikasi media sosial seperti Facebook, TikTok, WeChat, WhatsApp, Telegram dan pelbagai aplikasi lain lagi sebagai medium mencari mangsa.

    Beliau berkata sindiket itu akan menghubungi mangsa melalui nombor telefon yang diperoleh secara rawak dan apabila mangsa mula menunjukkan minat, mereka diminta memindahkan sejumlah wang ke dalam akaun yang diberikan ahli sindiket dengan menghantar pautan yang telah disambung kepada pentadbir.

    Beliau berkata hasil keuntungan yang diperoleh sindiket itu dianggarkan RM100,000 ke RM150,000 sehari, manakala anggota sindiket pula menerima upah sekitar RM2,500 ke RM3,500 sebulan.

    Jafri berkata semasa serbuan, pihaknya turut merampas sejumlah peralatan terdiri daripada dua rak server, empat komputer riba, 88 telefon bimbit, tiga router, empat modem, 26 kad sim dan wang tunai RM100,000. – Bernama

    Jafri Embok Taha (dua kanan) menunjukkan wang tunai yang dirampas semasa sidang media mengenai Operasi Khas berkaitan sindiket penipuan dalam talian yang dijalankan oleh warga asing dari pelbagai negara di Jabatan Imigresen Malaysia kelmarin. – Bernama
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda