Tuesday, March 18, 2025
23.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Impak El Nino burukkan jerebu

    KUALA LUMPUR – Bahang panas yang meresahkan sebahagian besar penduduk di Malaysia sejak kebelakangan dikaitkan dengan fenomena El Nino dengan ancaman jerebu, dan dilaporkan turut memberi impak kepada negara lain Asia Tenggara.

    Menurut Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia), cuaca panas terik serta kualiti udara menurun kepada paras ‘tidak sihat’ pada 15 April lepas serta memberi kesan kepada negeri di bahagian utara iaitu Pulau Pinang, Kedah, Perlis, Kelantan dan Terengganu.

    Negara jiran Malaysia melaporkan peningkatan ‘titik panas’ serta jerebu akibat El Nino, ditambah berlaku kebakaran, terutamanya di kawasan tanah gambut.

    Pusat Meteorologi Khusus ASEAN (ASMC) turut melaporkan titik panas yang merebak di Myanmar dan Laos di samping lokasi titik panas di Thailand, Kampuchea dan Vietnam.

    Memandangkan cuaca kering yang masih berterusan di samping jerebu yang membawa asap tebal dari titik panas ke negara jiran ASEAN, sudah tentu Malaysia akan turut terkesan.

    Gambar fail fenomena cuaca panas akibat El Nino akan menjadi lebih buruk dengan risiko kemarau, jerebu serta gelombang haba yang tinggi. – Bernama
    Gambar fail menunjukkan pemandangan Jambatan Pulau Pinang yang kabur akibat keadaan jerebu berikutan cuaca panas yang melanda. – Bernama

    El Nino panjangkan musim kering

    Pensyarah kanan Jabatan Sains Bumi dan Alam Sekitar, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Madya Dr Mohd Shahrul Mohd Nadzir berkata, sepanjang El Nino, angin yang bertiup ke arah barat sepanjang Khatulistiwa menjadi perlahan dan air hangat ditolak ke timur, menyebabkan suhu permukaan lautan menjadi panas.

    “Menurut Copernicus Climate Change Service, Kesatuan Eropah (EU), model iklim menunjukkan kembalinya keadaan El Nino pada musim panas Borea, serta kemungkinan El Nino yang lebih kuat berlaku pada penghujung tahun 2023.

    “Setakat tahun ini, sekitar 23 titik panas dikenal pasti di Sarawak ketika negeri ini bersiap siaga menghadapi cuaca kering yang panjang. Perubahan iklim serta jangkaan kembalinya fenomena cuaca El Nino boleh melonjakkan purata rekod suhu pada tahun 2023 dan 2024, menurut saintis iklim,“ beliau memberitahu Bernama baru-baru ini.

    Laporan media sebelum ini ada menyebut berdasarkan rekod, iaitu pada tahun 2015, setakat ini El Nino melanda Malaysia sebanyak 12 kali, dengan yang pertama antara tahun 1951 dan 1952, dan kejadian terburuk pada tahun 1997 hingga 1998, dengan suhu terpanas 40.1 darjah Celcius direkod di Stesen Meteorologi Chuping, Perlis, pada 9 April, 1998.

    Mohd Shahrul berkata, El Nino dikaitkan dengan pengurangan hujan di bahagian tertentu Asia Tenggara, termasuk Malaysia dan cuaca kering mudah menggalakkan kebakaran hutan, menyebabkan pelepasan asap serta bahan pencemar ke atmosfera, menghasilkan jerebu.

    Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Nik Nazmi Nik Ahmad dipetik berkata dalam laporan media pada 15 April, jerebu yang melanda negara adalah akibat kebakaran hutan gambut.

    Risiko kesihatan

    Semasa berlaku El Nino, Mohd Shahrul berkata, perubahan dalam peredaran atmosfera boleh memberi kesan kepada corak angin, berpotensi membawa asap serta bahan pencemar yang dihasilkan kawasan yang terbakar ke arah Malaysia.

    “Keadaan ini pasti memburukkan paras jerebu di negara ini. Kombinasi keadaan kering, kebakaran hutan serta pelepasan bahan pencemar daripada pelbagai sumber boleh meningkatkan paras zarah, seperti zarah bawaan udara.

    “Zarah ini boleh menyumbang kepada jerebu dan mendatangkan risiko kesihatan, menyebabkan isu pernafasan dan kesan kesihatan lain yang teruk,” katanya menambah, keadaan jerebu di Malaysia boleh berbeza bergantung kepada faktor seperti corak cuaca, perubahan kegunaan tanah serta kegiatan manusia.

    “Penting untuk semua mengetahui bahawa meskipun El Nino boleh memburukkan jerebu, namun faktor lain seperti amalan penggunaan tanah, amalan pertanian serta kegiatan membakar yang diharamkan juga mempunyai peranan penting dalam pembentukan jerebu.

    “Keadaan jerebu yang teruk pada tahun 2019 sebahagian besarnya berpunca daripada kebakaran hutan di Indonesia sementara jerebu yang berlaku pada tahun-tahun lain berpunca daripada faktor yang berbeza.

    Kebakaran tanah gambut

    Menurut Pakar Strategi Kempen Serantau, Greenpeace Asia Tenggara, Heng Kiah Chun, jerebu kini bukan sahaja terhad pada Malaysia dan Indonesia, seperti yang difikirkan ramai orang, tetapi ia juga dari negara Asia Tenggara yang lain.

    “Sebagai contoh, jerebu rentas sempadan yang berlaku baru-baru ini berkait langsung dengan pertumbuhan budaya mono dan pertanian di Thailand serta negara jiran lain. Pembukaan tanah untuk kegiatan perladangan menyebabkan tanah gambut menjadi kering dan mudah terbakar.

    “Apabila penggondolan hutan dan saliran berlaku, paras air water table menurun dan menghalang pencerapan karbon. Sebaik terdedah kepada udara, gambut mereput melepaskan karbon dioksida dan menyebabkan tanah tenggelam.

    “Dengan gambut menjadi kering, risiko kebakaran hutan serta pembentukan jerebu, kembalinya cuaca panas dan kering akibat El Nino, ini semua memburukkan keadaan jerebu di Malaysia,” katanya.

    Heng, yang juga jurucakap Green-peace untuk projek jerebu rentas sempadan berkata, fenomena itu adalah buatan manusia dan ia boleh dicegah dengan mengambil tindakan yang betul bagi memantau serta menyekat kebakaran, terutama di atas tanah gambut.

    “Kami (Greenpeace) mencadangkan beberapa langkah untuk melindungi tanah gambut, iaitu pemulihan tanah gambut boleh menghalang punca utama kebakaran, sebagai tambahan kepada usaha pencegahan kebakaran yang dilakukan pihak berkuasa.

    “Kedua, adalah penting untuk menghentikan kemusnahan tanah gambut dan komited kepada dasar Sifar Penggondolan Hutan, Sifar Gambut dan Sifar Eksploitasi (NDPE) oleh syarikat perladangan dan jenama global,” katanya.

    Akta pencemaran jerebu rentas sempadan

    Mengulas lanjut mengenai jerebu rentas sempadan, Heng mencadangkan kerajaan Malaysia bekerjasama dengan negara ASEAN lain untuk menggubal Akta Jerebu Rentas Sempadan masing-masing.

    “Akta itu langkah konkrit pertama sejajar dengan perjanjian ASEAN mengenai Pencemaran Jerebu Rentas Sempadan (AATHP) tahun 2002 yang diratifikasi oleh Kuala Lumpur pada 3 Disember 2002,” katanya.

    Negara Anggota ASEAN (AMS) memeterai AATHP pada 10 Jun 2002 di Kuala Lumpur, ekoran kebakaran hutan dan tanah yang buruk pada tahun 1997-1998.

    Akta berkenaan bertujuan mencegah, memantau serta mengurangkan kebakaran hutan dan tanah bagi mengawal pencemaran jerebu rentas sempadan menerusi usaha bersepadu di peringkat negara, serantau serta antarabangsa.

    Pada 1 Mei 2023, Nik Nazmi dipetik berkata, Malaysia akan menemui negara jirannya di Singapura (7-8 Jun 2023) bagi membincangkan jerebu rentas sempadan serta membangunkan pelan hala tuju baharu untuk kerjasama.

    Lima negara iaitu Brunei, Indonesia, Singapura, Thailand dan Malaysia, membentuk kumpulan kerja teknikal dan jawatankuasa pemandu kementerian sub-serantau mengenai jerebu rentas sempadan.

    Apakah mungkin mesyuarat ini mampu menamatkan igauan rakyat Malaysia yang teruk terkesan akibat fenomena jerebu sejak tahun 1997?

    Profesor Madya Politik Alam Sekitar, Jabatan Pengajian Antarabangsa dan Strategik Universiti Malaya, Dr Helena Varkkey berkata, semua negara ASEAN, termasuk Filipina, yang tidak terjejas teruk akibat jerebu bersetuju menghadiri AATHP.

    “Perjanjian (AATHP) adalah penting kerana ia satu-satunya instrumen undang-undang alam sekitar ASEAN yang mengiktiraf jerebu sebagai isu rentas sempadan dan menggunakan SOP untuk memantau, menilai, tindakan kecemasan bersama dan pembangunan hala tuju jerebu,” katanya.

    Rangkaian sensor kualiti udara

    Sementara itu, menurut Mohd Shahrul, kerajaan mengambil beberapa tindakan untuk menangani masalah jerebu, termasuk menguatkuasakan peraturan yang lebih ketat serta melaksanakan langkah untuk mengurangkan pelepasan daripada industri, kenderaan serta pembakaran terbuka.

    “Bagaimanapun, keberkesanan langkah berkenaan masih menjadi topik perbahasan kerana jerebu dan cuaca panas terus berlaku dan mungkin menyukarkan langkah penguatkuasaan.

    “Untuk menangani masalah jerebu ini secara serius, ia bukan sahaja bergantung kepada penguatkuasaan akta atau usaha kerajaan tetapi ia perlu juga melibatkan masyarakat dengan meningkatkan kesedaran tentang pencemaran udara,” katanya.

    Menurut beliau, bagi melibat serta memperkasa masyarakat untuk bertindak mengurangkan pencemaran udara, rangkaian sensor atau pengesan kualiti udara yang boleh melengkapkan sistem pemantauan kualiti udara tradisional di samping menyediakan lebih banyak maklumat menyeluruh tentang paras pencemaran udara sewaktu fenomena jerebu.

    “Sensor ini kecil, mudah dibawa dan dipasang, menjadikan sesuai untuk kawasan yang infrastruktur pemantauan kualiti udaranya terhad.

    “Bagaimanapun, perlu ambil maklum, sensor kualiti udara yang berkos rendah mungkin tidak berapa tepat berbanding stesen pemantauan yang gred profesional. Untuk itu, penting untuk menaksir data daripada sensor berkenaan setakat sebagai petunjuk dan bukan muktamad.

    “Dengan menyediakan akses kepada data masa nyata kualiti udara, sensor itu boleh membantu meningkatkan kesedaran kesan pencemaran udara ke atas kesihatan awam dan alam sekitar. Ia juga boleh memberi motivasi kepada individu serta masyarakat agar mengambil langkah mengurangkan mendedahkan diri mereka kepada pencemaran udara dan menyumbang meningkatkan kualiti udara.

    “Maklumat daripada rangkaian pengesan itu boleh digunakan untuk mengenal pasti lokasi titik panas supaya tindakan segera dapat dilakukan,” katanya. – Bernama

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda