KUALA LUMPUR, 2 MEI – Pertumbuhan ekonomi global kekal berdaya tahan walaupun terdapat kenaikan tarif oleh Amerika Syarikat (AS) baru-baru ini, dengan impak yang terhad terhadap Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) di luar rantau Asia Pasifik (APAC), menurut S&P Global Ratings.
Katanya, walaupun kenaikan tarif pada 2 April telah mewujudkan kebimbangan mengenai aliran perdagangan global, kebanyakan pasaran pesat membangun (EM) dijangka dapat menghadapi perubahan tersebut dengan gangguan yang minimum – kecuali negara-negara yang berhampiran dengan AS seperti Mexico.
“Impak tarif terhadap pertumbuhan KDNK agak rendah di luar rantau APAC.
“Ini kerana kebanyakan negara mengalami defisit perdagangan dengan AS, justeru, tarif yang dikenakan pada 2 April adalah sebanyak 10 peratus,” katanya dalam nota penyelidikan hari ini.
Menurut S&P Global, dalam kebanyakan EM, impak langsung daripada tarif – seperti aliran perdagangan yang berkurangan – memberi impak lebih besar terhadap aktiviti ekonomi berbanding impak tidak langsung seperti permintaan global yang lebih rendah dan ketidaktentuan yang meningkat. – Bernama
