Impi pingat emas di kejohanan silat dunia

KOTA KINABALU – Minat yang mendalam dalam dunia seni silat sejak berusia 14 tahun menjadi pendorong utama kejayaan Luqman Laji, 25, untuk meraih beberapa kejayaan cemerlang dalam kejohanan silat peringkat kebangsaan dan antarabangsa.

Pemuda kelahiran Sabah itu setakat ini telah mengumpul koleksi lapan pingat emas, lima perak dan dua gangsa sepanjang pembabitannya dalam kejohanan seni silat bermula 2016 hingga 2019.

Menceritakan pembabitan awalnya dalam seni silat, Luqman berkata beliau menyertai kelab seni silat Sekolah Menengah Keningau 2 ketika menuntut di sekolah itu dan kelab itu kerap mengikuti pertandingan silat sekolah-sekolah peringkat daerah.

Kini Luqman sedang menjalani latihan sepenuh masa di Bukit Jalil setelah diserap sebagai atlet kebangsaan dalam sukan silat acara tunggal putra di bawah pemantauan penuh Pesaka Malaysia, sebuah persatuan silat kebangsaan dan Majlis Sukan Negara.

“Buat masa ini, saya memberi fokus sepenuhnya bagi kejohanan Silat Dunia yang ke-19 di Kuching, Sarawak pada 21 hingga 26 Julai tahun ini.  Saya hanya mengimpikan pingat emas pada kejuaraan dunia itu,” katanya kepada Bernama di sini.

Emas pertama yang diperolehi Luqman ialah pada kejohanan silat Piala DRB Hicom di Pekan, Pahang, pada 2016 menerusi persembahan regu putra.

Luqman meneruskan pencapaian cemerlang pada tahun 2017 dengan memenangi satu pingat emas menerusi acara tunggal putra (persembahan solo) pada kejohanan Terbuka Silat Antarabangsa UPSI di Perak.

Pada tahun yang sama beliau memenangi dua pingat emas menerusi tunggal  putra dan regu putra  pada kejohanan silat Piala Timbalan Perdana Menteri di Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), Johor.

Pemuda berketurunan Kadazan-Dusun itu dinobatkan sebagai pesilat terbaik Institut Pengajian Tinggi (IPT) pada tahun 2018 susulan kejayaannya merangkul dua pingat emas menerusi acara persembahan solo dan regu pada Kejohanan Silat Antarabangsa Kementerian Pendidikan dan UTHM edisi ke-9.

Satu lagi pingat emas yang diperolehi Luqman ialah pada kejohanan Silat Terbuka UPSI yang ke-9 di Perak pada tahun yang sama melalui acara tunggal putra (persembahan solo).

Pada kejohanan silat dunia ke-18 di Singapura pada tahun yang sama, Luqman hanya menduduki ranking ke-5 dunia secara keseluruhan dalam persembahan solo.

Luqman yang mempunyai ketinggian 164 sentimeter  itu seterusnya  mencipta kejayaan memenangi pingat emas dalam persembahan solo pada Kejohanan Silat Terbuka Antarabangsa Malaysia ke-2 di Kuala Lumpur tahun lepas.

Pada tahun yang sama, beliau juga memenangi pingat gangsa bagi acara tunggal putra pada kejohanan Pencak Silat Terbuka di Antwerp, Belgium.

Selain itu, pemuda yang dilahirkan di daerah Ranau, Sabah itu turut memenangi pingat perak pada kejohanan Pencak Silat Asian yang ke-5 di Yanbian China pada tahun itu. – Bernama