BATU GAJAH, 2 NOV – Impian seorang atlet kurang upaya, Wan Arief Firdaus Wan Ahmad Affendy yang kehilangan kaki kiri akibat kanser tulang untuk melakukan lebih banyak aktiviti lasak selain berenang akan menjadi kenyataan tidak lama lagi.
Pelajar tingkatan empat Sekolah Menengah Kebangsaan Toh Indera Wangsa Ahmad di sini itu bakal menerima kaki palsu daripada Menteri Besar Perak Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu selepas kisahnya tular di media massa.
Pegawai Khas Kanan Menteri Besar Perak Mohd Hafez Mubin Mohd Salleh berkata pihaknya akan berhubung dengan Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) secepat mungkin berhubung pemasangan kaki palsu Wan Arief Firdaus bagi membolehkan remaja ini melakukan aktiviti yang diminati.
“Menteri Besar meminta saya menziarahi dan melihat apa bantuan yang boleh kita (kerajaan negeri) berikan dan kita mendapat tahu dia memerlukan kaki palsu untuk melakukan pelbagai aktiviti yang beliau minat seperti bola sepak dan berenang,” katanya kepada pemberita selepas menziarahi Wan Arief di kediamannya di Kampung Sentang di sini, hari ini. Wan Arief Firdaus yang merupakan anak sulung daripada tiga beradik dipilih menyertai pasukan para renang negeri Perak kira-kira sebulan lalu. – Bernama
