Bolehkah sebiji pastri sederhana mengubah haluan hidup seseorang? Tanyalah kepada seorang ibu tunggal, Ismaliza Ismail, dan jawapannya pasti lantang, “ya”.
Pada tahun 2008, ketika suaminya meninggal dunia, dunia Ismaliza yang ketika itu berusia 48 tahun seakan runtuh. Dengan enam orang anak berusia antara sembilan hingga 20 tahun, beliau bukan sahaja bergelut dengan kesedihan, tetapi juga terpaksa memikul dua peranan sekali gus – pencari nafkah dan ibu.
“Setiap bil, setiap yuran, setiap hidangan menjadi punca kebimbangan,” kenangnya. “Ada malam saya tidak dapat tidur, ketakutan, tertanya-tanya bagaimana untuk terus bertahan.”
Tanpa pendapatan tetap dan jaminan kewangan, dapur kecilnya di Ara Damansara, Petaling Jaya, menjadi pentas baharu yang tidak dijangka. Dalam keputusasaan, beliau kembali kepada resipi karipap ibunya yang telah meninggal dunia, kegemaran keluarga sejak dahulu.
Langkah pertama begitu sederhana. Beliau menjual karipap sejuk beku dari rumah kepada jiran dan rakan-rakan. Pendapatannya sekadar RM300 sebulan, cukup-cukup untuk perbelanjaan sekolah, barangan dapur dan sewa rumah. Namun setiap jualan memberinya harapan. “Saya berkata pada diri sendiri, mungkin resipi ini boleh jadi talian hayat saya,” katanya.
Bertahun-tahun beliau bertahan demi anak-anak. “Masa depan mereka bergantung pada saya. Itulah sumber kekuatan saya,” tambahnya.



TITIK PERUBAHAN
Perubahan besar berlaku apabila beliau menyertai Entrepreneurial Equalisation Programme anjuran People Systems Consultancy (PSC), sebuah perusahaan sosial Malaysia yang membantu komuniti membina sumber pendapatan mampan.
Buat pertama kali, beliau melihat usaha di dapurnya sebagai sebuah perniagaan sebenar.
“Ia mengajar saya perancangan kewangan, penetapan harga produk, pemasaran, malah cara menghampiri kafe dengan membawa sampel,” katanya.
“Paling penting, program itu memberi keyakinan untuk percaya pada diri saya sebagai seorang usahawan wanita.”
Dengan kemahiran baharu dan bimbingan mentor, perniagaan karipapnya mula berkembang. Tidak lagi terhad kepada tempahan dari rumah, beliau mula membekalkan produk ke kafe-kafe di Lembah Klang, termasuk beberapa cawangan Richiamo Coffee dan kafeteria pejabat kerajaan di Putrajaya.
Beliau turut mempelbagaikan produk dengan memperkenalkan burger nangka dan biskut perayaan. Kini, pada usia 65 tahun, Ismaliza memperoleh antara RM5,000 hingga RM8,000 sebulan – lebih tujuh kali ganda daripada pendapatan awalnya.
“Sebelum PSC, saya hanya melihat diri sebagai ibu tunggal yang pandai memasak. Kini saya melihat diri sebagai usahawan dengan visi,” katanya.
MEMBERI SEMULA
Bagi Ismaliza, kejayaan bukan sekadar kestabilan diri, tetapi juga mengangkat orang lain bersamanya.
Terinspirasi oleh model bimbingan PSC, beliau kini aktif menyokong dan melatih ibu-ibu tunggal lain.
“Saya kongsi perjalanan saya; kesusahan, kegagalan dan kemenangan kecil,” katanya.
“Apabila mereka rasa mahu berputus asa, saya katakan, jangan fikir tentang membina empayar hari ini.
Ambil satu langkah pada satu masa. Anak-anak awda sedang memerhati dan setiap langkah ke hadapan adalah untuk mereka.”
Momen paling membanggakan baginya ialah apabila salah seorang menteenya berjaya mendapat tempahan pukal pertama daripada sebuah pejabat korporat.
“Dia menelefon saya dengan penuh gembira. Rasanya seolah-olah salah seorang anak saya sendiri yang berjaya,” ujarnya sambil tersenyum.
Selain bimbingan, beliau juga membuka peluang pendapatan dengan melibatkan ibu tunggal dan orang kelainan upaya (OKU) dalam rantaian bekalannya.
“Kejayaan hanya benar-benar bermakna apabila ia dapat membantu orang lain,” katanya.
Sebahagian kekuatannya, beliau percaya, terletak pada simbolik makanan itu sendiri.
Karipap yang dahulunya menyara anak-anaknya kini menyara komuniti.
“Apa yang bermula sebagai resipi untuk bertahan hidup telah menjadi resipi untuk pemberdayaan,” jelasnya.
Dikenali sebagai Mummy dalam komuniti, gelaran itu amat disayanginya.
“Ia bererti dihargai, melalui makanan yang saya buat dan nasihat yang saya kongsikan. Bagi saya, ia melambangkan keluarga.”
DISIPLIN DAN STRATEGI
Program PSC bukan sahaja memberi ilmu perniagaan, malah disiplin untuk melabur semula.
Beliau masih ingat bagaimana menyimpan 20 peratus daripada pendapatan membolehkannya membeli peti sejuk beku yang lebih besar, seterusnya mampu menerima tempahan pukal tanpa ragu-ragu. Langkah kecil yang konsisten, katanya, membina kestabilan jangka panjang.
Beliau kini berhasrat melihat produknya dijual di pasar raya, sekolah berasrama dan hospital. Ismaliza juga bercadang memperkenalkan produk baharu seperti sambal nangka dan mayonis tanpa telur.
“Dengan sokongan yang betul, saya percaya ia boleh dicapai,” katanya.
Namun yang paling utama, katanya, perjalanan hidupnya adalah tentang maruah diri.
“Kemerdekaan kewangan itulah yang penting. Ia bukan soal menjadi kaya, tetapi soal mempunyai pilihan. Dapat membayar bil dan yuran sekolah tepat pada masanya mengembalikan maruah saya. Kebebasan itu adalah asas kepada pemberdayaan,” tegasnya.
Jika arwah suami dan ibunya dapat melihat dirinya hari ini, beliau yakin mereka akan berbangga.
“Bukan kerana betapa besarnya perniagaan saya, tetapi kerana saya tidak berputus asa ketika hidup berada di titik paling sukar,” katanya.
Kisahnya diharap akan menginspirasi wanita lain untuk percaya pada diri sendiri.
“Saya bermula dengan RM300 dan enam mulut untuk diberi makan; tanpa sokongan dan tanpa jaminan. Tetapi langkah kecil membawa kepada sesuatu yang lebih besar. Jangan takut untuk berimpian, walaupun impian itu bermula sekecil sebiji karipap,” simpulnya. – ANN/The Star
