Sunday, May 11, 2025
26.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Impian CR7 jadi kenyataan

    MANCHESTER, 31 OGOS – Cristiano Ronaldo melahirkan ‘cinta tidak berbelah bahagi’ untuk Manchester United selepas melengkapkan kepulangan ke Old Trafford dari Juventus, hari ini.

    United berjaya mendapatkan pemenang anugerah Ballon d’Or sebanyak lima kali itu dengan yuran permulaan sebanyak 15 juta euro dan mungkin meningkat kepada 23 juta euro, menurut angka yang dikeluarkan oleh kelab Itali.

    Bintang berusia 36 tahun itu bersetuju dengan kontrak selama dua tahun dengan pilihan untuk dilanjutkan selama semusim. Ronaldo mencipta nama di pentas dunia selama enam tahun di United antara 2003 dan 2009 sebelum berhijrah ke Real Madrid dengan bayaran perpindahan rekod dunia, 80 juta pound.

    Ketua pasukan Portugal itu menjaringkan 118 gol dalam 292 perlawanan semasa kali pertama mewakili United, memenangi anugerah Ballon d’Or sekali dan pernah menjulang trofi Liga Juara-Juara, serta merangkul tiga gelaran Liga Perdana Inggeris, dua Piala FA dan dua Piala Liga.

    “Semua orang mengenali saya, mereka tahu bahawa cinta saya kepada Manchester United tidak berbelah bahagi. Beberapa tahun yang saya habiskan di sini sangat luar biasa dan laluan yang kami tempoh bersama sudah tertulis dalam sejarah kelab yang hebat ini.

    “Saya tidak dapat menjelaskan perasaan saya sekarang, ketika saya melihat kepulangan ke Old Trafford diumumkan ke seluruh dunia.

    “Ia seperti impian menjadi kenyataan, selepas beberapa kali saya ingin kembali bermain untuk United malahan sebagai pemain lawan, untuk merasai perasaan cinta dan hormat daripada peminat.”

    Ronaldo dijangka akan membuat penampilan kali kedua bersama United dalam pertemuan di laman sendiri menentang Newcastle pada 11 September.

    Tetapi peminat United tidak sabar dengan kepulangannya di mana mereka menyanyikan nama bintang tersebut semasa kemenangan 1-0 di Wolves pada Sabtu lalu. – AFP

    Gambar fail reaksi Cristiano Ronaldo menjulang trofi Liga Juara-Juara bersama United pada 2008. Ronaldo menyatakan impiannya menjadi kenyataan selepas kembali mewakili United. – AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda