PERTH, 31 Dis – Impian Roger Federer untuk ‘menyambut’ servis kencang Serena Williams akan tertunai pada pertemuan beregu campuran Piala Hopman antara Switzerland menentang Amerika Syarikat (AS) esok.
“Saya mengagumi apa yang dia lakukan dalam dan luar gelanggang,” kata Federer. “Saya sentiasa berfikir bagaimana untuk mengembalikan servis dan berdepan dengannya di gelanggang.”
Federer bermula dengan baik dalam usahanya mempertahankan gelaran Terbuka Australia apabila tidak perlu bekerja keras untuk menewaskan Cameron Norrie 6-1, 6-1.
Gandingannya, Belinda Bencic turut melakar kemenangan utuk memastikan kemenangan juara bertahan Switzerland ke atas Britain dalam Kumpulan B.
Federer dan Belinda akan berdepan Serena dan Frances Tiafoe yang dilabel perlawanan paling dinantikan dalam sejarah tiga dekat kejohanan.
Tiket habis dijual selepas jadual dikeluarkan yang menemukan Federer dan Serena buat kali pertama di gelanggang. Secara keseluruhan kedua-duanya sudah memenangi 37 gelaran Grand Slam individu.
“Ia sangat menarik bagi kami. Saya berharap penonton hadir dan menyaksikannya kerana mungkin ia mungkin hanya berlaku sekali,” kata Federer. – AFP
