Sejak kecil lagi, saya selalu menyimpan impian untuk membawa ibu bapa menunaikan haji. Saya mahu lihat mereka berdiri di hadapan Kaabah, tersenyum dengan hati yang tenang. Namun, jalan ke arah itu tidak pernah mudah.
Saya dibesarkan dalam keluarga sederhana. Ayah hanya bekerja kampung, manakala ibu, seorang suri rumah sepenuh masa.
Sejak tamat sekolah, saya berusaha mencari kerja tetap, tetapi yang ada cuma kerja sambilan dengan gaji kecil.
Kadang-kadang, duit yang saya kumpul habis begitu saja untuk bayar hutang kecil atau membantu keluarga. Ada masanya saya menangis sendirian kerana rasa gagal. Bagaimana saya mahu bawa mereka ke Mekah, sedangkan untuk simpan duit sendiri pun susah?
Pernah juga saya hampir berputus asa. Kawan-kawan sebaya sudah berjaya dengan kereta dan rumah sendiri, sedangkan saya masih terkial-kial.

Tekanan itu berat, apatah lagi bila ada saudara yang memandang rendah. Tapi setiap kali saya melihat wajah ibu yang makin berkerut dimamah usia, hati saya kembali kuat. Saya tahu, saya tidak boleh berhenti berusaha.
Saya mula mencari peluang lain — berniaga kecil-kecilan, belajar kemahiran baru dan cuba keluar dari zon selesa.
Tidak semuanya berhasil. Ada masa rugi, ada masa ditipu orang. Tetapi setiap kegagalan mengajar saya sesuatu.
Saya percaya Allah sedang menguji kesabaran saya sebelum mengurniakan rezeki yang lebih besar.
Hari ini, walaupun simpanan saya belum mencukupi, saya semakin hampir dengan impian itu. Saya mahu lihat senyuman ibu dan ayah di Tanah Suci nanti, kerana bagi saya kejayaan sebenar bukan hanya tentang kaya, tetapi tentang membahagiakan mereka walau penuh luka di perjalanan.
Wina
NASIHAT DANG MP
Terima kasih kepada Wina kerana berkongsi dengan Media Permata. Kisah ini sangat menyentuh dan menggambarkan keteguhan hati serta kasih sayang yang mendalam terhadap ibu bapa dan mungkin antara yang kerap diimpikan oleh seorang anak seperti Wina. Impian untuk membawa mereka menunaikan haji adalah niat yang mulia dan kesungguhan awda menghadapi cabaran dalam mengejarnya mencerminkan kekuatan jiwa Wina yang luar biasa.
Dalam hidup, ukuran kejayaan bukan semata-mata pada harta, tetapi pada pengorbanan dan kesungguhan kita memperjuangkan apa yang bermakna. Setiap usaha awda, walau kecil, pastinya bernilai di sisi Tuhan. Jangan pandang masa lalu sebagai kegagalan, tapi lihatlah ia sebagai latihan untuk jiwa yang lebih kuat dan sabar. Rezeki itu luas, dan Allah tidak pernah zalim kepada hamba-Nya yang ikhlas. Teruskan berusaha, walau perlahan dan sedikit.
Percayalah, bahawa perancangan Allah yang lebih tahu bila masa yang paling tepat. Dialah yang Maha Kuasa dan menetapkan rezeki ke atas setiap satu hamba-hambanya.
Seandainya Wina sekeluarga dijemput ke Tanah Suci, sudah pastilah akan ada caranya yang tersendiri dan tiada siapa dapat menghalang. Sementara itu, peliharalah hati awda dengan doa, dan terus berusaha walaupun balasannya belum tiba.









