Selepas 21 tahun tanpa lagu solo, akhirnya impian penyanyi Hazrul Nizam dimakbulkan.
Kini, penyanyi kelahiran Singapura itu yang pernah popular menerusi lagu Kaulah Segalanya kembali dengan karya menusuk jiwa berjudul Rawan ciptaan komposer berbakat, Amylea Azizan.
Hazrul berkata dia mengambil masa lama untuk muncul dengan single solo kerana menghasilkan lagu duet bersama penyanyi Singapura, Diana Nazyra berjudul Sejuta Kata selepas menyertai program realiti, Gegar Vaganza musim kesembilan.
Katanya, kemudian dia berkolaborasi bersama Dina Nadzir menerusi lagu Berat Hati.
“Jadi, saya tunda lancarkan single Rawan ini. Kalau ikutkan, lagu solo, Kaulah Segalanya sudah berusia 21 tahun.
“Saya teruja muncul dengan karya baharu ini. Selepas GV9, saya tidaklah berdiam diri, masih berkarya dan akan terus berkarya,” katanya.
Sementara itu, Hazrul berkongsi dia masih menerima undangan menjayakan persembahan di Malaysia, namun terpaksa menolak berikutan tidak memiliki permit Agensi Pusat Permohonan Penggambaran Filem dan Persembahan Artis Luar Negara (PUSPAL).
Katanya, single Rawan mungkin boleh menjadi ‘come back’ dalam industri muzik di Malaysia.
“Selepas GV9, saya pulang ke Singapura meneruskan semula kerjaya dalam bidang hartanah.
“Banyak juga undangan dari Malaysia. Tapi, saya tiada permit PUSPAL, jadi banyak tawaran terpaksa ditolak,” katanya.
Berkongsi kerjasama bersama Amylea, Hazrul mengakui terharu dapat bekerjasama dengan komposer muda berbakat besar.
“Saya terharu Amylea sudi tuliskan lagu untuk saya. Saya tertarik dengan melodi dan lirik Rawan kerana sukakan lagu berentak galau kerana boleh diinterpretasikan dalam pelbagai cara.
“Single Rawan juga dipilih menjadi runut bunyi (OST) drama Satu Hari Nanti lakonan Bella Astillah, Ezaidi Aziz dan ramai lagi,” katanya.
Video muzik Rawan menampilkan pelakon hebat seperti Beto Kusyairy, Nabila Huda dan Datuk Rahim Razali dan diarahkan pengarah terkenal, Bobby Husaini dan diterbitkan oleh HMA Entertainment.
Lagu Rawan boleh distrim di pelbagai platform seperti Spotify dan Apple Music, manakala video muzik boleh ditonton di YouTube menerusi saluran Alternate Records & Talents. – Agensi