Impian intai peluang ke peringkat dunia tertunda

Oleh Fadhil Yunus

BANDAR SERI BEGAWAN, 10 JUN – Negara Brunei Darussalam terpaksa menangguhkan impiannya untuk mengintai peluang beraksi pada Kejohanan Olahraga Dunia di Oregan, Amerika Syarikat selepas tarikh baharu kejohanan tersebut diumumkan bermula dari 15 hingga 24 Julai 2022.

Pertandingan itu pada awalnya dijadualkan dari 6 hingga 15 Ogos tahun depan, bagaimanapun acara itu ditunda sekali lagi berikutan dengan penangguhan Olimpik Tokyo 2020 akibat wabak koronavirus.

Brunei sering kali menghantar peserta ke acara dwitahunan itu sejak 2009 di Berlin, terutamanya dalam acara pecut.

Pelari pecut kebangsaan, Mohd Noor Firdaus Ar-Rasyid bin Haji Mohd Idris mewakili negara dalam dua edisi sebelumnya di Doha tahun lalu dan London pada 2017, sementara Mohd Fakhri Ismail bertanding di Beijing pada 2015.

Tahun lalu, peserta negara berjaya meraih beberapa kejayaan terutama menerusi kemenangan Mohd Noor Firdaus dalam acara 200m.

Setelah berjaya merangkul pingat perak di Terbuka Singapura pada Mac lalu, pemegang rekod kebangsaan 200m itu meneruskan momentumnya di Kejohanan Olahraga Asia hanya sebulan kemudian di mana dia mara ke separuh akhir dalam kedua-dua acara 100m dan 200m.

Negara Brunei Darussalam juga mempamerkan prestasi memberangsangkan di arena global lima tahun yang lalu selepas Mohd Fakhri melayakkan diri ke pusingan ujian selepas mencatat 10.73s di peringkat awal Kejohanan Olahraga Dunia.

Berjaya meraih ke pusingan tersebut juga memberikannya kesempatan untuk bertanding bersama ikon pecut dunia, Usain Bolt yang meraih pingat emas dalam acara tersebut.

Kejohanan dunia itu merupakan satu platform bagi atlet negara yang merupakan satu penentuan penting untuk melayakkan diri mereka dalam Olimpik seiring dengan Kejohanan Olahraga Asia, Komanwel, Sukan Asia dan Sukan Asia Tenggara (SEA).

Pertandingan utama terakhir yang disertai oleh Negara Brunei Darussalam ialah Sukan SEA di Manila, Filipina pada Disember lalu.

Sementara itu, Kejohanan Trek dan Padang Terbuka Singapura ke-82 2020 di Pusat Sukan Singapura di Singapura, Mohd Noor Firdaus berjaya memenangi pingat perak, sebelum acara itu dibatalkan berikutan dengan penularan COVID-19.

Kejohanan Olahraga Dunia dianjurkan oleh Olahraga Dunia, badan pentadbir antarabangsa untuk olahraga.