Oleh Nur Adika Bujang
SANDAKAN – Selepas berkecimpung dalam bidang fotografi hampir sembilan tahun, impian seorang anak tempatan untuk memiliki premis sendiri bagi mengusahakan perniagaan dalam bidang itu hampir menjadi kenyataan.
Normamin Mohamad Shah Ibrahim, 31, yang mengusahakan Nomosh Studio selepas menerima segulung ijazah pada 2011, kini sedang mengubah suai sebuah premis tiga tingkat di sebuah pusat komersil baharu di sini.
Bagi memastikan lokasi premis itu sesuai untuk mengembangkan perniagaanya, beliau telah membuat perjanjian sewa beli dengan pemilik premis berkenaan untuk tempoh setahun.
“Saya mahu melihat kesesuaian premis ini untuk kemudahan pelanggan sebelum mengesahkan pembelian premis ini,” katanya ketika ditemui Bernama, baru-baru ini.
Beliau berkata premis berkenaan dijangka beroperasi sebelum sambutan Aidilfitri ini dan akan dilengkapi dengan studio dan ruang acara bagi pelanggan menganjurkan program mereka.


Didorong oleh cabaran
Normamin memberitahu beliau menceburi perniagaan dalam bidang fotografi bukan sahaja kerana minat, tetapi didorong oleh cabaran dihadapi jurugambar profesional untuk cuba menjadikan bidang itu releven di pasaran.
Menurutnya, kebanyakan institusi kewangan menganggap bidang fotografi sebagai satu perniagaan yang berisiko tinggi.
Oleh itu, beliau terpaksa bekerja di sebuah syarikat swasta selepas tamat pengajian dalam bidang pemasaran antarabangsa di Universiti Malaysia Sabah untuk beberapa bulan bagi mengumpul modal sebanyak RM5,000 untuk membeli peralatan kamera.
“Tetapi saya bertuah kerana mendapat kepercayaan daripada Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (Tekun Nasional) yang menyuntik RM15,000 untuk merealisasikan impian saya memiliki premis perniagaan sendiri,” katanya.
Beliau berkata walaupun beliau berupaya mencari pekerjaan dengan kelulusan peringkat tertiari, namun peluang untuk meningkatkan pendapatannya dengan menjalankan perniagaan tidak harus ditolak.
Mencuba perkara baharu
Apatah lagi setelah beliau mendirikan rumah tangga pada 2014 dan mempunyai seorang anak lelaki berusia tiga tahun.
Nasihatnya kepada golongan graduan yang belum bekerja, ialah supaya sentiasa mencuba perkara baharu dan tidak sesekali melepaskan sebarang peluang yang boleh mengubah kehidupan ke arah lebih baik dan selesa.
“Pasaran kerja sekarang semakin unik, zaman semakin canggih dan kita perlu bersaing dalam dunia perniagaan yang semakin mencabar.
“Oleh itu, jangan kita lepaskan walaupun satu peluang yang diberikan kepada kita kerana jika kita lepaskan, ramai lagi di belakang kita yang bersedia untuk merebut peluang itu,” katanya. – Bernama