Sunday, April 27, 2025
30.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Impian kadet polis wanita Pakistan

    DI sebuah sekolah revolusi di Pakistan, Durkhanay Banuri menanamkan impian untuk menjadi ketua tentera, sebelum ini cita-cita itu merupakan sesuatu yang amat mustahil untuk dicapai oleh gadis-gadis ini apatah lagi di sebuah negara yang mempunyai masalah besar terhadap kesaksamaan gender.

    Durkhanay yang berumur 13 tahun itu, merupakan seorang pelajar yang pertama menuntut di Kolej Cadet Girls yang mana telah ditubuhkan pada awal tahun 2017 di kawasan barat laut Pakistan yang terkenal sebagai sebuah wilayah yang sangat konservatif namun Durkhanay menanamkan semangat dan keyakinan untuk merencana kehidupannya dan cita-citanya.

    “Saya mahu menjadi seorang ketua tentera, kenapa tidak, apabila wanita boleh menjadi perdana menteri, menteri luar dan gabenor sebuah bank, kaum wanita juga boleh menjadi ketua tentera, saya akan membuatnya sesuatu yang pasti dan anda akan dapat lihat nanti,” kata Durkhanay kepada wartawan media. Impian kebanyakan gadis-gadis muda di rantau berkenaan hanya terhad untuk meninggalkan rumah.

    Durkhanay dan 70 orang rakannya di Mardan, sebuah bandar di wilayah Kyhber Pakthunkhwa dan terletak kira-kira 110 kilometer dari Islamabad.

    Kolej kadet ini berusaha untuk menyediakan para pelajar lelaki khususnya satu masa depan yang cerah untuk angkatan bersenjata dan perkhidmatan awam.

    Para graduan akan diberikan keutamaan dalam proses pemilihan tentera Pakistan dan ini bermakna bahawa masa depan gadis-gadis ini akan terjamin. Gadis-gadis ini mungkin akan diberi kuasa dan akan mendapat manfaat daripada sumber serta latihan terbaik di kolej tersebut.

    Akibat proses pembaharuan tersebut, kolej berkenaan telah memainkan peranan yang luar biasa khususnya dalam sistem pendidikan di negara tersebut yang mana sebelum ini telah banyak mengecewakan ibu bapa dan juga pihak kolej.

    Kolej kadet ini berusaha untuk menyediakan masa depan yang cerah untuk angkatan bersenjata dan perkhidmatan awam. – AFP
    Durkhanay dan rakan-rakannya berasa yakin bahawa kolej ini akan memberi mereka satu peluang untuk terus berjuang di Pakistan. – AFP
    Durkhanay yang berumur 13 tahun itu, merupakan seorang pelajar yang pertama menuntut di Kolej Kadet Perempuan yang telah ditubuhkan pada awal tahun 2017. – AFP

    Berkemungkinan tentera

    Menurut satu kajian yang telah dijalankan, dianggarkan sebanyak 24 juta kanak-kanak Pakistan tidak meneruskan pendidikan mereka dan disebabkan itu, ramai kanak-kanak wanita hanya akan duduk di rumah berbanding dengan kaum lelaki. Beratus-ratus pelajar lelaki belajar di setiap kolej tentera di negara itu dan gadis-gadis masih tidak dibenarkan untuk bersekolah di sekolah elit ini kecuali kolej tentera di Mardan, membenarkan kaum wanita untuk bersekolah.

    “Kolej ini akan berupaya untuk membantu golongan layak untuk menjadi jurutera dan juga doktor,” kata Brigedier Naureen Satti, menekankan kepentingan mereka dalam perjuangan yang panjang untuk kesamarataan terhadap wanita-wanita Pakistan.

    Lengkap dengan berpakaian seragam, Durkhanay dan rakan-rakan berarak di kawasan lapang, melangkah serentak diiringi dengan jurulatih dan mengikuti beberapa latihan fizikal serta mempelajari seni mempertahankan diri. Bidang ketenteraan dianggap sebagai satu kerjaya yang hebat di negara itu malah ia juga merupakan sebuah institusi pentadbiran yang paling berkuasa dan telah memerintah negara berkenaan kira-kira 70 tahun.

    Di bawah pentadbiran biasa, pentadbiran tentera dipercayai mengawal dasar pertahanan dan juga dasar asing negara tersebut.

    Walau bagaimanapun, kaum wanita telah banyak ditolak disebabkan oleh rutin kursus ketenteraan negara tersebut yang diiktiraf dalam kalangan yang paling mencabar di dunia dan kebanyakan kaum wanita sebelum ini telah berjuang untuk mendapat hak mereka selama beberapa dekad.

    Sebelum ini mereka hanya dibenarkan berkhidmat dalam jawatan pentadbiran namun diktator ketenteraan, Pervez Musharraf membuka satu cabang baru terhadap bidang ketenteraan kepada kaum wanita sama ada ingin mengikuti tentera laut, tentera darat dan tentera udara yang bermula pada tahun 2003.

    Perubahan

    Menurut laporan daripada Credit Suisse 2015 menyatakan bahawa sekitar lebih 700,000 anggota wanita masih lagi aktif dan bekerja di bawah pentadbiran tentera. Namun berdasarkan kenyataan daripada seorang pegawai keselamatan kanan memberitahu wartawan AFP bahawa dengan syarat untuk tidak mendedahkan namanya, dianggarkan sekitar 4,000 wanita kini dipercayai telah berkhidmat dalam angkatan bersenjata.

    Pegawai keselamatan tidak dapat memberikan butiran lanjut walaupun ada sebilangan wanita telah berjaya menjadi peranan penting dalam bidang ketenteraan seperti Ayesha Farooq, yang mana pada tahun 2013, Ayesha menjadi wanita pertama Pakistan sebagai juruterbang pejuang.

    Pengetua Sekolah Kadet, Brigedier bersara, Javid Sarwar, berjanji bahawa kebanyakan pelajarnya akan bersedia untuk melakukan apa saja yang mereka ingin lakukan termasuk dalam angkatan bersenjata.

    “Saya mahu gadis-gadis ini mendapat kemanfaatan dan kecemerlangan serta berupaya untuk melawan ketidakadilan dalam masyarakat,” kata Javid lagi kepada wartawan media.

    Durkhanay dan rakan-rakannya berasa yakin bahawa kolej ini akan memberi mereka satu peluang untuk terus berjuang di Pakistan.

    Affifa Alam, yang mahu mengikut jejak langkah Ayesha Farooq dan menjadi seorang juruterbang angkatan udara berkata bahawa kolej ini merupakan satu peluang dan dasar perubahan yang besar. “Ini akan membantu kami untuk merealisasikan impian dan terus meningkatan penerimaan wanita dalam bidang yang mencabar,” tambah Affifa mengakhiri temu ramah bersama media. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda