BUDAPEST, 28 OGOS – Victor Kiplangat dari Uganda memenangi acara maraton lelaki di Kejohanan Olahraga Dunia di Budapest selepas menghasilkan larian bertenaga pada acara ketiga terakhir untuk meninggalkan pesaingnya di belakang.
Juara Komanwel itu mencatat masa kemenangan 2 jam 08 minit 53 saat (s) di jalan raya ibu negara Hungary itu selepas melepaskan diri dalam 15 kilometer terakhir.
Maru Teferi dari Israel menduduki tempat kedua dengan catatan masa 2:09.12s, manakala wakil Habsyah, Leul Gebresilase meraih gangsa (2:09.19s).
“Ini adalah impian saya dan akhirnya menjadi kenyataan,” kata Kiplangat.
“Tahun lalu saya adalah juara Sukan Komanwel dan itu membuatkan saya berfikir tahun ini saya mesti menjadi juara dunia. Kini doa saya dimakbulkan dan semoga tahun depan di Paris saya juga akan menjadi juara Olimpik.”
Kiplangat menambah, “Sukar hari ini kerana cuaca sangat panas tetapi saya berasa selesa kerana saya membuat persiapan yang baik untuk cuaca ini. Saya tahu ia mungkin kerana saya berlatih dengan baik.” – AFP