FORT LAUDERDALE, 1 MEI – Impian Lionel Messi untuk memenangi trofi Piala Juara-Juara CONCACAF buat kali pertama bersama Inter Miami hancur lebur apabila pasukan itu tewas 1-3 kepada Vancouver Whitecaps dalam aksi separuh akhir kedua di selatan Florida, awal pagi tadi.
Whitecaps layak ke final selepas menang 3-1 di Florida selatan sekali gus mara 5-1 secara agregat dan akan bertemu pemenang separuh akhir antara kelab Mexico, Cruz Azul dan Tigres UANL yang terikat 1-1 menjelang aksi kedua, hari ini.
Inter Miami kelihatan bersemangat untuk mencipta kebangkitan apabila Jordi Alba membuka jaringan seawal minit kesembilan.
Gol itu hasil hantaran cantik Messi dari tengah padang kepada Luis Suarez yang kemudian melorongkan bola kepada Alba di sebelah kiri. Sepakan rendah bekas pemain Barcelona itu melepasi kawalan penjaga gol Jepun, Yohei Takaoka.
Namun, kelebihan awal itu tidak bertahan lama apabila Vancouver tampil agresif memburu gol di tempat lawan yang mampu mematikan peluang Miami.

Serangan daripada pemain seperti Brian White dan Emmanuel Sabbi menyaksikan Whitecaps menguasai permainan dengan mudah.
Sabbi hampir menyamakan kedudukan apabila rembatannya terkena tiang.
Vancouver yang dibimbing jurulatih dari Denmark, Jesper Sorensen, ternyata lebih pantas dan bijak mengatur serangan berbanding barisan pertahanan Miami yang kelihatan lembap dan hambar.
Messi, yang mengetuai bahagian tengah, hanya mencatat satu percubaan separuh peluang yang tinggi dan tersasar, manakala rakan senegaranya Tadeo Allende turut gagal memanfaatkan peluang yang ada.
Kekalahan itu menyaksikan musim sulung Messi dalam saingan elit benua itu berakhir lebih awal, sekali gus memberikan ruang kepada Vancouver untuk mencipta sejarah tersendiri dalam perlawanan akhir kelak. – AFP