Oleh Ak Zaki Kasharan –
Setiap orang pastinya mempunyai impian untuk pergi bercuti ke luar negara. Bercuti ke luar negara adalah tidak sama dengan bercuti di dalam negara sendiri, terutamanya membuat persiapan dari segi kewangan, pengaturan cuti kerja dan tempat tinggal.
Jadual yang telah dirancang teliti, pengalaman yang menyeronokkan diharapkan akan menjadikannya satu kenangan manis. Namun, siapa yang menyangka apabila percutian yang diimpikan menjadi kenangan pahit disebabkan musibah yang menimpa. Demikianlah yang berlaku apabila dua orang sahabat yang berasal dari Negara Brunei Darussalam melancong ke negara jiran, baru-baru ini.
Ketika ditemu bual oleh media, dua sahabat yang enggan nama mereka disiarkan, mengongsikan bahawa segalanya bermula dengan lancar dan baik sehinggalah mereka tiba ke hotel mereka yang telah ditempah lebih awal.
Setibanya di hotel tersebut, mereka dapati bahawa penyaman udara di bilik yang mereka tempah mengalami kerosakan dan ini telah menyebabkan mereka berpindah ke bilik lain.
Memandangkan bilik hotel penuh ditempah ketika itu, mereka akhirnya diberikan bilik yang lebih besar dan mempunyai dua aras di dalamnya dengan syarat mereka harus berpindah ke bilik lain pada hari berikutnya apabila ada bilik yang kosong.
Menurut dua sahabat itu, mereka memilih untuk tinggal di aras atas bilik memandangkan keadaan penyaman udara yang lebih sejuk berbanding di aras bawah. Walau bagaimanapun, mereka meninggalkan bagasi pakaian mereka di aras bawah dan hanya membawa barang penting ke tempat tidur mereka iaitu di aras atas.
Namun, mereka terkejut pada keesokan paginya apabila mendapati telefon bimbit milik salah seorang daripada mereka hilang. Selain itu, mereka juga mendapati bahawa beg tangan masing-masing turut hilang dari tempat simpanan.
Panik dengan kejadian tersebut, mereka berdua kemudiannya terus membuat pemeriksaan dan mendapat lebih banyak barang milik mereka hilang termasuk pasport salah seorang daripada mereka, telefon bimbit dan wang tunai bernilai ribuan ringgit Malaysia.
Ternyata bilik mereka telah diceroboh masuk oleh pencuri melalui salah sebuah tingkap di bahagian bawah bilik hotel tersebut semasa mereka sedang nyenyak tidur dan seterusnya keluar meninggalkan bilik tersebut menggunakan pintu masuk bilik yang dibiarkan renggang terbuka sehingga pagi.
Berang dengan kejadian yang menimpa, kedua-dua sahabat itu meminta pihak hotel untuk bertanggungjawab dan membayar pampasan namun mereka hanya menerima sebahagian wang daripada pihak hotel.
Setelah membuat laporan polis, mereka kemudiannya berjaya menjejak lokasi pencuri menerusi bantuan aplikasi telefon bimbit yang dicuri.
Walau bagaimanapun, si pencuri sempat melarikan diri dan gagal ditangkap setelah menyedari kehadiran pihak polis. Sementara itu, beberapa barangan yang dicuri seperti kad pengenalan, lesen memandu, jam tangan, telefon bimbit dan gambar berukuran pasport dapat ditemui di kawasan rumah pencuri tersebut.
Tanpa wang tunai, kad ATM dan telefon bimbit, mereka berasa amat kecewa dan hampa kerana segala perancangan percutian mereka hancur lebur.
Namun mereka saling membantu antara satu sama yang lain untuk menaikkan semangat masing-masing.
Kedua-duanya kemudian memilih untuk berpindah ke hotel lain dengan menggunakan wang pampasan yang diberikan oleh pihak hotel selepas kejadian itu.
Ia merupakan satu pengalaman pahit yang tidak akan dilupakan namun mereka tetap reda dengan ketentuan yang telah berlaku kerana percaya bahawa setiap yang terjadi pasti ada hikmahnya.
Sehubungan itu, nasib malang yang menimpa itu mendorong mereka mengingatkan sesiapa yang merancang bercuti ke luar negara supaya sentiasa berwaspada bagi mengelakkan kejadian seumpama ini terjadi kepada mereka dan ahli keluarga.