Oleh Sim Y.H. –
Enam pelajar bidang kejuruteraan dari Universiti Brunei Darussalam (UBD) berjaya merealisasikan impian mereka bagi beraksi dalam kenderaan rekaan mereka sendiri di Pertandingan Shell Eco-marathon Asia-Pacific and the Middle East 2023 yang berlangsung di Lombok, Indonesia dari 4 hingga 9 Julai lalu.
Kumpulan pelajar yang menamakan pasukan mereka, Perkasa Darussalam, dianggotai oleh enam orang pelajar dengan dua orang penyelia, Dr Roil Bilad dan Pengiran Aderus bin Pengiran Haji Tengah, pensyarah dari UBD.
Anggota lain termasuk ketua pasukan, Awang Muhammad Ahmad Hasyer bin Sulong; pemandu pertama, Dayang Amal Bazilah binti Karim; pemandu kedua, Dayang Amal Basirah binti Karim; pengendali komunikasi dan mekanikal, Awang Ahmad Danial bin Rosli; pengendalian elektrikal, Awang Muhammad Dzahiruddin @ Muhammad Hanafi bin Haji Kifli dan pengendali mekanikal pasukan, Awang Iman bin Abdul Walid.
Perjalanan awal Perkasa Darussalam ke Shell Eco-marathon
Perjalanan awal bagi kumpulan pelajar kejuruteraan UBD berkenaan bermula kira-kira enam bulan lalu di mana mereka memilih untuk menamakan pasukan mereka, Perkasa Darussalam, dengan mengambil inspirasi pahlawan gagah dan berani supaya setiap anggota pasukan terus bersemangat menempuhi segala cabaran.
Media Permata berpeluang menemu bual tiga orang anggota pasukan iaitu Awang Ahmad Danial, Awang Iman dan Dayang Amal Bazilah di UBD, baru-baru ini, di mana mereka menerangkan bahawa penyertaan mereka bukan saja untuk menguji kemahiran mereka dalam rekaan, mencipta dan membina sebuah kenderaan efisien tenaga tetapi juga menimba pengalaman serta membuka minda mereka kepada cabaran-cabaran baharu.
Penyertaan pasukan dan juga UBD dalam pertandingan itu adalah untuk mengembalikan penyertaan universiti berkenaan dalam acara berkenaan di mana UBD telah menyertainya pada 2012 hingga 2018 tetapi terhenti seketika disebabkan pandemik COVID-19.
Sebagai pelajar, cabaran utama yang dihadapi mereka adalah menguruskan masa dengan bijak bagi membahagikan masa untuk pengajian mereka, menyiapkan kenderaan elektrik serta meluangkan masa bersama keluarga serta rakan-rakan.
Di samping itu, cabaran yang dihadapi dalam pembinaan kenderaan itu kebanyakannya timbul daripada keperluan untuk mempelajari kemahiran baharu seperti perisian rekaan bagi mereka bentuk kenderaan yang sesuai, pembiayaan bahan buatan dan menggunakan bahan baharu yang belum pernah dikendalikan untuk membina kenderaan itu.
“Selain itu, kami juga belajar mengimpal, memasang komponen elektrik kenderaan serta memuat naik program, kesemuanya merupakan pengalaman yang benar-benar membuka mata kami,” tambahnya.
Mengulas mengenai nama kenderaan yang dipilih, Mantuka Aswad, mereka menerangkan bahawa pelbagai cadangan nama telah dikemukakan tetapi perkara yang utama dalam pemilihan nama adalah untuk menonjolkan identiti keBruneian.
Mantuka dipilih kerana ia merupakan perkataan slanga dalam bahasa Brunei bagi kereta dan perkataan Aswad pula diambil daripada perkataan Arab bagi warna hitam, dan Mantuka Aswad membawa erti kereta hitam sebagai identiti pasukan mereka yang berteraskan falsafah negara, Melayu Islam Beraja.
Pasukan Perkasa Darussalam dalam mencipta kenderaan, Mantuka Aswad, mengetengahkan rekaan mereka yang tersendiri dan unik kerana mereka ingin menonjolkan sesuatu yang berlainan daripada penyertaan pasukan-pasukan terdahulu.
Pengalaman dan pengajaran semasa Shell Eco-marathon Asia-Pacific
Pertandingan yang berlangsung di Mandalika International Street Circuit, Lombok, Indonesia, menyaksikan penyertaan lebih daripada 70 buah pasukan dari 13 negara Asia dan Timur Tengah di mana Mantuka Aswad telah melakar mercu tanda signifikan sebagai kenderaan daripada pasukan pertama Negara Brunei Darussalam yang berjaya melalui pemeriksaan teknikal ketat dalam percubaan pertama.
Semasa pertandingan itu, banyak cabaran, pengalaman dan pengajaran yang diperoleh pasukan Perkasa Darussalam.
Menurut mereka, salah satu pengajaran pertama yang diperoleh adalah tidak sesekali segan meminta pertolongan kerana semasa pertandingan itu, semua pasukan terdiri daripada pelajar dan setiap pasukan mempunyai masalah mereka yang tersendiri.
Oleh itu, dengan berbekalkan semangat setia kawan dan tolong-menolong, mereka saling membantu untuk menyelesaikan masalah masing-masing menerusi kerja berpasukan.
Dalam pertandingan Prototaip semasa Shell Eco-marathon berkenaan, pasukan Perkasa Darussalam berjaya menduduki tempat 20 teratas.
Walaupun ia satu kejayaan yang amat membanggakan bagi pasukan berkenaan namun mereka belum berpuas hati dengan pencapaian itu.
Menurut mereka, pengalaman yang telah dilalui banyak memberikan pengajaran kepada mereka dan dengan berbekalan pengalaman yang diperoleh itu, mereka sudah mengatur strategi untuk menghasilkan kenderaan yang lebih baik pada masa depan.
Sementara itu, beberapa orang anggota pasukan akan kembali menyertai pertandingan itu dan akan mengetengahkan rekaan kenderaan baharu yang jauh berbeza daripada penyertaan mereka pada tahun ini.
Mereka yakin akan mencatat keputusan yang lebih baik serta berusaha untuk meraih kemenangan dalam pertandingan berkenaan.