Sunday, September 8, 2024
22.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Impian Piala Dunia Modric lenyap

    DOHA, 14 DIS – Luka Modric merupakan pemain terbaik Croatia, namun dia telah berdepan dengan pemain terbaik sepanjang zaman, Lionel Messi setelah Argentina ‘mengajar’ mereka di Qatar pada awal pagi kelmarin.

    Selepas membantu negaranya mara ke peringkat separuh akhir Piala Dunia kali kedua berturut-turut, pasukan yang tidak kenal erti penat lelah itu telah ditewaskan 3-0 oleh pasukan Amerika Selatan.

    Jurulatih, Zlatko Dalic suatu ketika pernah bermegah dengan Croatia – dengan Modric yang dibantu oleh Mateo Kovacic dan Marcelo Brozovic – mempunyai ‘barisan pemain tengah yang terbaik di dunia’ selepas kekalahan mengejut Brazil dalam aksi suku akhir.

    Barisan pemain tengah itu telah mendorong negara yang mempunyai sekitar empat juta orang penduduk untuk bersaing secara konsisten dengan pasukan terkuat dunia, namun mereka akhirnya kepenatan semasa menentang Argentina.

    “Argentina mempunyai pasukan yang cemerlang, dan hari ini, mereka mempunyai empat pemain tengah yang menutup ruang dan menguasai permainan,” kata Dalic.

    Croatia telah menang menentang Kanada dalam peringkat kumpulan dan mengatasi Jepun dan Brazil dalam pusingan kalah mati menerusi sepakan penalti, dan dibolosi dengan gol pembukaan dalam kedua-dua perlawanan.

    Hanya terdapat beberapa pasukan yang sekuat dan setahan Croatia, tetapi dua gol dalam masa lima minit, yang pertama daripada sepakan penalti oleh Lionel Messi dan yang kedua melalui serangan Julian Alvarez, terbukti satu halangan yang terlalu besar untuk diatasi.

    Dalic telah mengetepikan kebimbangan mengenai keletihan pemain selepas mara ke masa tambahan dalam aksi 16 terakhir dan suku akhir, tetapi terdapat tanda-tanda Croatia sudah pun mencapai tahap permainan mereka setelah Alvarez menjadikan kedudukan 2-0.

    Kebijaksanaan Messi telah membantu Alvarez menjaringkan gol buat kali kedua, dan Modric telah dikeluarkan sembilan minit sebelum masa tamat – sambil mendapat tepukan gemuruh daripada kira-kira 89,000 orang penonton yang membanjiri stadium tersebut. – AFP

    Reaksi Modric semasa Argentina meraikan kemenangan mereka pada penghujung perlawanan separuh akhir Piala Dunia di Stadium Lusail, Qatar, kelmarin. – AP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda