Thursday, December 26, 2024
32 C
Brunei

    Berita Terkini

    Impian rakam gambar perkahwinan termakbul

    Gambar ANN/China Daily

    BEIJING – Pasangan-pasangan yang telah lanjut usia memperingati hari bahagia mereka beberapa dekad selepas peristiwa bersejarah itu hanya kerana projek pelajar di Wuhan.

    Setelah berkahwin selama 38 tahun, Zhang Jianjun dan Qin Shumei memutuskan sudah tiba masanya untuk mengambil foto pernikahan mereka. Jurugambar, operator pencahayaan dan artis mekap yang terlibat dalam sesi tersebut berasal dari generasi yang lebih muda. Mereka berkomunikasi dengan pasangan warga emas tersebut untuk membantu mereka mengatasi rasa gugup agar dapat menghasilkan foto-foto yang baik.

    Mereka semua adalah pelajar dari Universiti Sains Kejuruteraan Wuhan di wilayah Hubei, dan mereka merakam foto perkahwinan untuk warga emas yang tidak berpeluang melakukannya ketika mereka masih muda, sebagai satu khidmat masyarakat.

    “Saya bersyukur saya telah memenuhi impian saya untuk mengenakan gaun pengantin,” kata Qin, 64, dari Shijiazhuang, wilayah Hebei. “Cinta kami bukanlah jenis yang berkobar-kobar, namun kami percaya adalah penting untuk saling menemani.”

    Sementara orang muda hari ini cenderung melakukan perjalanan ke lokasi yang indah untuk mengambil foto perkahwinan oleh jurugambar profesional, generasi lebih tua menjalani hari bahagia mereka secara sederhana. Pasangan pengantin baharu sekitar tahun 1970an hanya mengambil foto hitam putih sebagai kenang-kenangan.

    Tentera bersara Liu Deming, 88 dan isteri Shen Ailan, 81, dari Shaoshan, wilayah Hunan mengambil gambar perkahwinan mereka buat pertama kali.

    Pasangan warga emas, yang tidak berpeluang mengambil gambar perkahwinan ketika muda, memenuhi impian mereka hasil daripada program daripada Universiti Sains Kejuruteraan Wuhan.
    Pasangan warga emas, yang tidak berpeluang mengambil gambar perkahwinan ketika muda, memenuhi impian mereka hasil daripada program daripada Universiti Sains Kejuruteraan Wuhan.
    Pasangan warga emas, yang tidak berpeluang mengambil gambar perkahwinan ketika muda, memenuhi impian mereka hasil daripada program daripada Universiti Sains Kejuruteraan Wuhan.
    Lebih daripada 400 pelajar sukarelawan mengambil 50,000 gambar perkahwinan pasangan warga emas, yang tidak berpeluang melakukannya apabila mereka masih muda.

    Hanya pada awal tahun 1990an, studio foto perkahwinan profesional mulai muncul di China, ketika ekonomi berkembang pesat.

    Berdasarkan realiti tersebut, Yu Jinwen, 35 tahun, seorang kaunselor dari universiti itu, melancarkan projek pada tahun 2015. Projek ini juga dilakukan kerana datuknya.

    Apabila beliau meninggal pada tahun 2010, keluarga mencari gambar yang sesuai untuknya tetapi tidak dapat menemukannya dan terpaksa menggunakan gambar dari kad pengenalannya sebagai foto untuk pengebumian. Hal ini menjadi penyesalan terbesar Yu dalam hidupnya.

    “Program ini telah menggembirakan warga tua dan membantu meningkatkan semangat keseluruhan pelajar muda,” kata Yu. “China merupakan masyarakat yang meningkat tua dan generasi muda harus memberikan perhatian lebih kepada warga emas, kebanyakannya terlalu malu untuk meluahkan permintaan mereka.”

    Program untuk warga emas

    Pernah suatu ketika seorang lelaki tua berusia 70an menghubungi Yu dan mengakui dia berasa malu untuk pergi ke studio foto untuk mengambil gambar perkahwinan dengan isterinya.

    “Beliau memberitahu saya anak-anaknya pun tidak pernah mengambil gambar-gambar tersebut, yang dipercayainya hanya untuk golongan muda sahaja. Beliau tidak mahu keluarganya tahu keinginannya untuk mengambil gambar perkahwinan.

    “Jika kami pergi tempat mereka, beliau boleh menerangkan kepada mereka bahawa ia adalah idea kami,” kata Yu.

    “Ini adalah sesuatu yang baharu bagi warga emas. Ada yang mengambil gambar di ladang. Ada yang malu untuk berjalan di kawasan komuniti dalam pakaian perkahwinan dan ingin mengambil gambar di rumah. Pelajar dengan mudah dapat menyediakan latar belakang yang sederhana untuk mereka,” kata Yu.

    Merah adalah warna tradisional untuk pakaian perkahwinan Cina. Beliau berkata askar yang bersara lebih suka memakai pakaian seragam hijau, yang sepadan dengan pakaian merah isteri mereka.

    “Seorang nenek menghubungi saya, menangis dan berkata suaminya telah meninggal dunia dan gambar berkenaan merupakan kenangan penting tentang suaminya. Pada masa itu, saya menyedari apa yang kami lakukan hanyalah satu perkara kecil, tetapi bagi beberapa orang warga tua, ia amat berharga,” tambah Yu. Lebih daripada 400 pelajar sukarelawan dari universiti telah mengambil 50,000 foto perkahwinan bagi kira-kira 650 pasangan warga tua di Hubei dan wilayah jirannya. Mereka memproses filem, membingkaikan foto dan menghantarnya melalui perkhidmatan kiriman cepat.

    Pelajar dilatih dan diberi tugasan mengikut kepakaran mereka. Mereka sering memilih subjek perbualan yang menarik minat warga tua, seperti bertanya mengenai pekerjaan terdahulu mereka.

    Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, mereka mula merekodkan kisah cinta yang menyentuh hati dari warga tua dan memaparkannya di media sosial. Sesetengah sukarelawan terus membantu program ini selepas tamat pengajian mereka.

    Mereka mempunyai tema yang berbeza setiap tahun. Contohnya, pada tahun 2019 mereka mengambil gambar perkahwinan bagi askar yang bersara semasa Wuhan mengadakan Permainan Dunia Tentera.

    “Butir-butir tentang bagaimana pasangan warga tua berinteraksi antara satu sama lain telah menyentuh hati pelajar-pelajar, yang dapat belajar tentang cinta daripada perspektif lain,” kata Yu.

    “Generasi yang lebih tua berkongsi pengalaman hidup mereka sendiri, bukan berbicara tentang prinsip yang serius. Apabila awda menyelami kisah mereka, awda secara beransur-ansur mampu berfikir secara waras tentang banyak perkara,” kata Yu.

    Kisah cinta yang menyentuh hati

    Sebungkus rokok, satu kilogram gula-gula dan dua meja sanak saudara – begitulah cara Zhao Xinguo, 74, dan isterinya Li Luanjiao, 75, berkahwin pada tahun 1974.

    Zhao berkhidmat dalam tentera laut dan pulang bercuti untuk mendaftar perkahwinan mereka. Mereka saling menulis surat untuk menjalin hubungan jarak jauh.

    Pada tahun 1982, Li mengalami reumatisme dan kesihatannya mula merosot.

    Pada 2016, dia mengalami strok dan memerlukan tongkat untuk berjalan. Tiga tahun kemudian, dia terlantar sakit di katil.

    Sepanjang masa itu, Zhao menjaga isterinya dengan baik, menyediakan makanan, memberi makan dan mengurutnya.

    Apabila cuaca baik, dia akan menggendongnya dan menolak kerusi roda untuk menikmati udara segar dan sinar matahari di sekitar komuniti. – ANN/China Daily

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda