
Impian penyanyi Syafiq Farhain untuk merakamkan sebuah lagu duet bersama ayahnya iaitu Allahyarham Saleem akhirnya tercapai.
Meskipun sekadar suntingan namun Syafiq atau Nursyafiq Farhain AM Salim, 32, tetap menganggap karya berjudul Cinta Di Hari Raya itu sungguh bermakna buat dirinya.
“Apabila saya mula bergelar penyanyi pernah pasang niat nak duet atau berkongsi pentas dengan ayah. Tapi itu bukan rezeki. Saya tidak ada kesempatan nak buat begitu.
“Dapat buat cara begini pun dah cukup untuk saya lepaskan keinginan,” katanya ketika dihubungi mStar.
Lagu tersebut sebelum ini pernah dirakamkan oleh Saleem tujuh tahun lalu dan versi rakaman semula itu pula dilancarkan sejak 21 Mac.
Meluahkan rasa teruja dan syukur, Syafiq juga memberitahu tidak mudah untuk dia melalui proses rakaman berkenaan.
“Biasanya bila rakam lagu duet agak mudah dan tidak mengambil masa lama. Tetapi untuk lagu ini saya rakam dalam tempoh dua jam.
“Susah nak kawal perasaan ketika rakaman. Sedikit beremosi sehingga saya perlu ambil masa menyanyikan bahagian saya,” jelasnya.
Berkongsi idea penghasilan lagu berkenaan, Syafiq sendiri meminta syarikat rakaman untuk ‘berduet’ dengan Saleem sebagai salah satu perancangan mempromosikan lagu raya tahun ini.
Tambah Syafiq dia juga tidak menolak untuk kembali merakamkan lagu-lagi nyanyian arwah bapanya di masa akan datang.
“Saya minta kalau mahu berduet lebih baik dengan arwah. Jadi pihak syarikat rakaman cari semula fail lama dalam simpanan. Maka terhasillah lagu dan video muzik lagu ini.
“Jika ada lagu-lagu lain pun saya boleh rakam selepas ini. Semuanya bergantung kepada keadaan. Perlu cari fail lama,” ujarnya.
Untuk rekod, Allahyarham Saleem menghembuskan nafas terakhir pada 14 Oktober 2018 selepas dua minggu dimasukkan ke hospital akibat kemalangan. – Agensi