KOFU, JEPUN – Seorang murid sekolah rendah Darjah 6 dari Kofu, wilayah Yamanashi, berjaya menakluki Gunung Kilimanjaro (5,895 meter) – puncak tertinggi di benua Afrika – pada bulan September.
Rei Banno, 12, mula mendaki gunung ketika berusia empat tahun dan sejak itu telah mendaki lebih daripada 300 puncak gunung.
Menawan puncak Gunung Kilimanjaro merupakan impiannya sejak dari Darjah 2.
Semasa impiannya menjadi kenyataan, dia berkata sambil tersenyum, “Saya telah memperoleh keyakinan.”
Semasa berumur empat tahun, dia mendaki Gunung Konara. Pada masa itu, dia berasa berjaya mencapai kejayaan dan sejak itu terus mendaki gunung. Disokong oleh ibunya, Naomi, 49, Rei telah mendaki 100 buah gunung terkenal di wilayah Yamanashi pada usia enam tahun.

Rei belajar tentang Gunung Kilimanjaro dari majalah-majalah pendakian gunung dan buku oleh pendaki gunung dan mula berminat dengan gunung itu sambil berfikir: “Gunung itu kelihatan seperti puding besar. Ia sangat cantik.”
Apabila pemanasan global semakin meningkat, glasier semakin mencair. Rei memutuskan untuk menyahut cabaran mendaki Gunung Kilimanjaro, berfikir, “Saya mahu melihat keadaan semasa gunung dengan mata saya sendiri.”
Pada Julai, dia cuba mengumpul wang melalui crowdfunding. Dia berjaya mengumpul ¥831,210, melebihi jumlah sasaran awal sebanyak ¥300,000.
Dia berlepas meninggalkan Jepun pada 1 September dan memulakan pendakian Gunung Kilimanjaro pada 3 September.
Dia menyangka sebahagian besar glasier masih kekal di permukaan gunung itu, namun sebaliknya mendapati kawasan di sana hangus akibat kebakaran hutan. Dia menyaksikan sendiri kemusnahan alam sekitar.
Rei mengongsikan bahawa dia tidak menghadapi sebarang masalah untuk mendaki gunung itu, mungkin kerana teruja ketika menghampiri puncak. Mengimbau semasa tiba di puncak pada 7 September, Rei berkata, “Saya terlalu gembira untuk berkata apa-apa.”
Pada 23 Oktober, dia melaporkan pencapaiannya kepada Datuk Bandar Kofu Yuichi Higuchi.
“Pengalaman itu mesti menjadi aset yang tidak dapat dilupakan untuk awda. Saya harap awda akan terus berusaha untuk mencapai impian dan matlamat awda,” kata Higuchi. – ANN/The Korea Herald