Oleh Sim Y.H.
Gambar serahan Liga Belia Persatuan Fuzhou Shiyyi Brunei Darussalam
Impian sekumpulan tujuh orang belia daripada Liga Belia, Persatuan Fuzhou Shiyyi Brunei Darussalam untuk mendaki dan tiba di puncak Gunung Kinabalu menjadi kenyataan apabila mereka berjaya melakukannya, baru-baru ini.
Kumpulan belia daripada persatuan berkenaan telah diketuai oleh Pengerusi Liga Belia, Katherine Hii Peck Ngah bersama enam orang ahli jawatankuasa iaitu Kang Tzin Min, Connie Lau Wee Lin, Lee Kah Seng, Cheing Leon Son, Chieng Sn Kui dan Chieng Sing Kong telah mengadakan Ekspedisi Mendaki Gunung Kinabalu, di Kota Kinabalu, Sabah pada 6 hingga 7 Mei.
Menurut Katherine, ia merupakan ekspedisi pendakian Gunung Kinabalu yang pertama bagi mereka dan impian untuk sampai ke puncak gunung telah menjadi satu realiti.
Pengalaman itu, tambahnya, menjadi lebih manis lagi apabila mereka dapat melakukannya bersama rakan-rakan yang tidak putus-putus memberikan semangat walaupun berhadapan dengan pelbagai cabaran.
Berlatih bersungguh-sungguh
Mengulas mengenai pengalaman mendaki gunung berkenaan, beliau berkata bahawa latihan bagi mempersiapkan diri mereka untuk pendakian itu bermula kira-kira sebulan sebelum ekspedisi diadakan dengan mengadakan pendakian bukit di kawasan riadah di sekitar Brunei.
Sepanjang tempoh latihan, kumpulan berkenaan juga telah berpeluang untuk mendapatkan nasihat dan tunjuk ajar daripada pendaki-pendaki yang berpengalaman mendaki Gunung Kinabalu.
Walaupun latihan yang dilakukan serta nasihat yang diberikan, ekspedisi pendakian gunung itu masih amat mencabar bagi mereka dengan keadaan cuaca yang sukar diramal serta suasana altitud tinggi yang memberikan pelbagai kesan kepada mereka, di mana ada yang mengalami sakit kepala dan ada juga yang mengalami sengal-sengal sendi.
Semua itu, tambahnya, merupakan faktor di luar kawalan mereka dan oleh itu, mereka harus menghadapinya dengan tabah serta menyesuaikan diri dengan sebaik mungkin terhadap cabaran yang mendatang.
Bagi mereka, bukan sahaja mereka harus mempunyai kecergasan tubuh badan untuk menamatkan pendakian itu, malah mentaliti yang positif memainkan peranan yang tidak kurang pentingnya selain mempunyai keinginan diri yang tinggi untuk sampai ke puncak gunung berkenaan.
Berbekalkan keazaman dan semangat yang tinggi, mereka memulakan dan berjaya menamatkan pendakian sejauh 6 kilometer pada hari pertama dan pada keesokan harinya, mereka memulakan pendakian sejak awal subuh lagi untuk menamatkan pendakian ke puncak gunung.
Saling beri semangat
“Ada masanya, apabila kami fikir bahawa kami telah sampai ke penghujung perjalanan namun setiap laluan akan membawa kami ke kawasan yang baharu di mana kami merasakan seperti tiada titik penamat kepada pendakian itu.”
Mereka berkata kunci kepada kejayaan pendakian adalah semangat setia kawan dan sokongan daripada setiap anggota kumpulan.
“Kami pergi ke Kota Kinabalu dengan matlamat yang sama iaitu untuk mendaki gunung tertinggi di Asia Tenggara dan kami bertekad untuk tidak kembali sehingga setiap seorang daripada kami sampai ke puncak berkenaan.”
Sepanjang pendakian, kumpulan berkenaan mengekalkan langkah yang konsisten dan sentiasa mengingatkan antara satu sama lain untuk mengambil langkah kecil serta minum air secukupnya bagi mengelakkan daripada dehidrasi.
Ada kalanya, mereka mengalami keletihan dan kekejangan otot tetapi sebagai satu kumpulan, mereka memberikan kata-kata semangat kepada satu sama lain serta saling membantu untuk membawa beg bagi meringankan bebanan masing-masing.
Segala keletihan dan kepenatan yang dirasai adalah berbaloi apabila mereka berjaya sampai sebagai sebuah kumpulan yang bersatu dan berdiri bersama-sama di puncak gunung berkenaan.
Mereka berkata bahawa bukan sahaja mereka menerima sokongan daripada ahli kumpulan sepanjang perjalanan mendaki gunung itu, tetapi mereka amat menghargai kata-kata semangat dan sokongan yang diberikan oleh pendaki-pendaki lain yang memberikan galakan kepada mereka untuk tmeneruskan pendakian.
Mengulas mengenai pengalaman yang diperoleh daripada ekspedisi berkenaan, mereka berkata setiap orang berasa ia satu pencapaian yang amat bermakna bagi diri mereka.
Pengalaman tersebut juga memberikan mereka semangat untuk menyahut cabaran yang lebih besar pada masa akan datang.
Selain itu, ia juga telah mengeratkan lagi hubungan persahabatan serta meningkat semangat berpasukan dalam diri mereka.