Thursday, February 6, 2025
23.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Implan rangsang tulang belakang bantu penyakit saraf

    WASHINGTON, 5 FEB – Tiga orang yang menghidap penyakit yang merosakkan otot dan diramal semakin teruk akan menjadi lebih kuat dan mampu berdiri serta berjalan dengan lebih mudah, apabila peranti ditanam untuk merangsang tulang belakang mereka.

    Hari ini, para penyelidik melaporkan apa yang mereka katakan sebagai bukti pertama bahawa implan merangsang tulang belakang yang sedang diuji untuk kelumpuhan mungkin juga membantu penyakit neurodegeneratif seperti atrofi otot tulang belakang – dengan memulihkan sedikit fungsi otot, sekurang-kurangnya sementara.

    “Orang-orang ini sememangnya tidak menjangkakan sebarang peningkatan,” kata Marco Capogrosso, profesor pembantu di Universiti Pittsburgh yang mengetuai penyelidikan itu. Namun, sepanjang kajian perintis selama sebulan, mereka semakin pulih.

    Atrofi otot tulang belakang (SMA) adalah penyakit genetik yang secara perlahan-lahan memusnahkan neuron motor, sel saraf di dalam saraf tunjang yang mengawal otot. Ia menyebabkan otot merosot, terutamanya di kaki, pinggul, bahu dan kadang-kadang terlibat dengan pernafasan dan menelan.

    Terapi gen boleh menyelamatkan nyawa kanak-kanak yang sangat muda dengan bentuk penyakit yang teruk dan terdapat beberapa ubat untuk melambatkan kemerosotan pada pesakit yang lebih tua.

    Doug McCullough, yang menghidap atrofi otot tulang belakang, semasa ujian rangsangan saraf tunjang eksperimen untuk meningkatkan fungsi otot di Pittsburgh, pada 14 Mac 2023. – AP

    Merangsang tulang belakang dengan tahap elektrik rendah telah lama digunakan untuk merawat kesakitan kronik, tetapi pasukan Capogrosso juga telah mengujinya untuk membantu orang yang lumpuh akibat strok atau kecederaan saraf tunjang untuk menggerakkan anggota badan mereka tanpa bantuan. Apabila diaktifkan, ia menghantar elektrik kepada rangkaian saraf yang tidak aktif di bawah kecederaan untuk mengaktifkan otot.

    Capogrosso kemudian tertanya-tanya jika teknologi yang sama boleh membantu SMA dengan cara yang serupa — dengan merangsang saraf deria yang berkaitan supaya ia menghidupkan sel-sel otot yang rosak, membantu mereka bergerak untuk mengatasi kemerosotan.

    Para penyelidik di Pitt menanam elektrod di atas tulang belakang bawah tiga orang dewasa dengan SMA dan menguji kekuatan otot mereka, keletihan, julat pergerakan serta perubahan dalam langkah dan jarak berjalan apabila peranti itu berfungsi dan apabila ia dimatikan.

    Ia tidak memulihkan pergerakan normal tetapi dengan hanya beberapa jam rangsangan tulang belakang dalam seminggu, semua peserta melihat peningkatan dengan cepat dalam kekuatan dan fungsi otot, lapor penyelidik dalam jurnal Nature Medicine.

    “Dengan penyakit yang progresif, awda tidak pernah menjadi lebih baik,” kata peserta kajian Doug McCullough, 57, dari Franklin Park, New Jersey. – AP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda