Thursday, April 3, 2025
24.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    Implan ubah fikiran jadi pertuturan

    PARIS, 1 APRIL – Implan otak menggunakan kecerdasan buatan (AI) telah berjaya mengubah pemikiran seorang wanita yang lumpuh menjadi ucapan secara hampir serentak, kata penyelidik AS kelmarin.

    Walaupun masih di dalam peringkat eksperimen, pencapaian terkini menggunakan implan yang menghubungkan otak dan komputer meningkatkan harapan peranti ini boleh membolehkan individu yang telah kehilangan kemampuan untuk berkomunikasi untuk mendapatkan semula suara mereka.

    Pasukan penyelidik yang berpangkalan di California sebelum ini telah menggunakan antara muka otak-komputer (BCI) untuk mengubah pemikiran Ann, seorang wanita berusia 47 tahun dengan quadriplegia dan menterjemahkannya kepada percakapan.

    Namun, terdapat kelewatan selama lapan saat antara pemikirannya dan pertuturan yang dibaca oleh komputer.

    Ini bermakna perbualan yang lancar masih belum dapat dicapai oleh Ann, seorang bekas guru matematik sekolah menengah yang tidak dapat bercakap sejak mengalami strok 18 tahun lalu.

    Kuasa kecerdasan buatan OpenAI, pencipta ChatGPT, pada 31 Mac 2025. – AFP

    Namun, model baharu pasukan ini, yang didedahkan dalam jurnal Nature Neuroscience, mengubah pemikiran Ann menjadi versi suara lama beliau dalam selang masa 80 milisaat.

    “Pendekatan penyiaran baharu kami menukar isyarat otak beliau kepada suara sesuai dalam masa nyata, dalam satu saat selepas niatnya untuk bercakap,” kata pengarang utama kajian, Gopala Anumanchipalli dari Universiti California, Berkeley kepada AFP.

    Tambahnya lagi, matlamat akhir Ann adalah untuk menjadi kaunselor universiti.

    “Sementara kami masih jauh untuk melakukannya untuk Ann, pencapaian ini membawa kami lebih dekat untuk meningkatkan kualiti hidup individu dengan kelumpuhan vokal.”

    Model ini menggunakan kaedah kecerdasan buatan yang dipanggil deep learning yang telah dilatih berdasarkan percubaan Ann untuk bercakap secara senyap dengan ribuan ayat.

    Patrick Degenaar, seorang profesor neuroprostetik di Universiti Newcastle, United Kingdom yang tidak terlibat dalam kajian ini, memberitahu AFP ia merupakan kajian ‘bukti prinsip yang sangat awal’.

    Dengan pembiayaan yang betul, Anumanchipalli menganggarkan teknologi ini boleh membantu orang untuk berkomunikasi dalam masa lima hingga sepuluh tahun. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda