Tuesday, April 15, 2025
29.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    Import teknologi dikeluarkan tarif

    WASHINGTON, 13 APRIL – Pentadbiran Trump telah mengecualikan sejumlah besar barangan elektronik pengguna daripada tarif import yang dikenakan – memberikan kelegaan kepada syarikat teknologi Amerika Syarikat (AS) dan secara tidak langsung mengurangkan ketegangan perang perdagangan dengan China.

    Satu notis lewat Jumaat oleh Pejabat Kastam dan Perlindungan Sempadan AS menyatakan bahawa telefon pintar, komputer riba, cip memori dan produk lain akan dikecualikan daripada tarif global yang diumumkan oleh Presiden Donald Trump seminggu lalu.

    Langkah tersebut diambil ketika tarif balas China sebanyak 125 peratus ke atas barangan AS mula berkuat kuasa pada Sabtu, dengan Beijing kekal bertegas terhadap rakan dagangan terbesarnya itu.

    Pengecualian itu akan memberi manfaat kepada syarikat teknologi AS seperti Nvidia dan Dell, serta Apple yang menghasilkan iPhone dan produk premium lain di China.

    Ia juga secara amnya akan mengurangkan kesan daripada tarif mengejut sebanyak 145 peratus yang dikenakan oleh Trump tahun ini terhadap barangan China yang memasuki AS.

    Data Kastam AS menunjukkan barangan yang dikecualikan tersebut merangkumi lebih 20 peratus daripada jumlah import China, menurut penyelidik kanan RAND, Gerard DiPippo.

    Walaupun tersenarai dalam barangan yang dikecualikan, semikonduktor masih boleh menjadi sasaran tarif khusus industri yang dicadangkan Trump terhadap import dari semua negara.

    Trump kelmarin berkata bahawa dia akan memberikan jawapan yang ‘sangat khusus’ mengenai sebarang tarif semikonduktor pada Isnin.

    Pertelingkahan tarif yang semakin memuncak antara Washington dan Beijing telah menimbulkan kebimbangan akan berlakunya perang perdagangan berpanjangan antara dua ekonomi terbesar dunia dan menyebabkan pasaran global tidak menentu.

    Kesan daripada situasi itu amat dirasai dalam ekonomi AS, dengan pelabur menjual bon kerajaan, nilai dolar menjunam dan keyakinan pengguna merosot.

    Menambah tekanan terhadap Trump, golongan hartawan Wall Street – termasuk beberapa penyokong beliau sendiri – secara terbuka mengkritik strategi tarif tersebut sebagai merosakkan dan tidak berkesan. – AFP

    iPhone 16 keluaran Apple dipamerkan semasa pelancaran pada 20 September 2024 di Apple Store di New York. – AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda