Jumaat, 21 November 2025
24.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Import besi buruk diperketat bagi elak pencemaran radioaktif

    JAKARTA, 10 OKT – Menteri Alam Sekitar Indonesia, Hanif Faisol Nurofiq mengumumkan syarat ketat bagi syarikat yang mengimport besi dan keluli buruk bagi mengelakkan pencemaran radioaktif, lapor agensi berita ANTARA.

    Selepas menghadiri aktiviti pembersihan sungai di Jakarta hari ini, Hanif berkata kementeriannya secara rasmi meminta kementerian dan agensi berkaitan menggantung sementara import besi buruk.

    Penggantungan ini akan berkuat kuasa sehingga pihak industri mematuhi langkah keselamatan terhadap risiko sinaran radioaktif.

    “Kami hanya akan mengeluarkan cadangan kelulusan import jika syarikat memasang Sistem Pemantauan Portal Radiasi dan Sistem Pemantauan Pelepasan Berterusan (CEMS).

    Setelah sistem ini dipasang, barulah permohonan import besi buruk akan dipertimbangkan,” jelasnya.

    Selain itu, syarikat juga dikehendaki memasang Sistem Pemantauan Kualiti Udara dan Sistem Pemantauan Data Radiologi.

    Langkah ini bertujuan memastikan pemantauan dijalankan oleh pihak industri dan juga kawasan sekitar.

    Pengumuman ini dibuat susulan kesan pencemaran Cesium-137 yang dikesan dalam udang beku yang dieksport oleh PT BMS ke Amerika Syarikat.

    Pendedahan radioaktif itu dipercayai berpunca dari PT Peter Metal Technology (PMT) di Kawasan Perindustrian Cikande, Daerah Serang, Banten, yang terletak berhampiran dengan kemudahan pemprosesan PT BMS. – Bernama

    Gambar Freepik

     

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda