Saturday, May 3, 2025
29.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    Import durian China dari Malaysia diunjur meningkat

    BEIJING, 2 MEI – Jumlah import durian China dari Malaysia dijangka meningkat antara 15 dan 20 peratus tahun ini, didorong oleh permintaan pengguna yang mampan walaupun berdepan cabaran berkaitan cuaca baru-baru ini di Malaysia, kata Dewan Perniagaan dan Industri Malaysia di China (MayCham).

    Pengerusinya, Loh Wee Keng berkata permintaan daripada pengguna di China terus mengatasi bekalan terutamanya bagi jenis premium seperti Musang King dan D24.

    “Walaupun hujan lebat di Malaysia mengakibatkan buah gugur sebelum waktunya, saya menjangkakan keseluruhan jumlah eksport tahun ini meningkat 15 hingga 20 peratus lebih tinggi berbanding tahun lepas.

    “Malah, permintaan kekal kukuh dalam pasaran China,” katanya kepada Bernama. Katanya, durian Musang King dari Malaysia terus menarik minat yang tinggi, khususnya dalam kalangan pelanggan buah-buahan premium di China.

    “Ketika ini, amat mustahil untuk mendapatkan Musang King Gred A di bawah RM30 sekilogram pada harga ladang.

    “Pada luar musim seperti Mei, harga boleh meningkat kepada RM80 sekilogram. Bagi D24 pula, harga paling rendah adalah kira-kira RM15 sekilogram,” katanya.

    Menurut Kementerian Pertanian China, negara itu mengimport 19.25 juta kilogram durian dari Malaysia berjumlah RM1 bilion antara Januari dan Disember 2024.

    Loh berkata 15 tahun lalu, harga ladang bagi Musang King sejuk beku adalah kira-kira RM25 sekilogram dan boleh turun RM12 sekilogram pada musim puncak. Bernama

    Gambar Freepik
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda