PUTRAJAYA, 13 JUN – Permintaan pengguna serta faktor tukaran mata wang asing menyebabkan nilai import makanan Malaysia meningkat hingga mencecah RM62 bilion setahun berbanding RM48 bilion sebelum ini, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Menekankan Malaysia tidak boleh selamanya bergantung kepada import makanan, Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pemantauan Pelaksanaan Majlis Tindakan Sara Hidup berkata semua kementerian, jabatan dan agensi kerajaan perlu bekerjasama memberi fokus kepada keterjaminan makanan dan memastikan permintaan di dalam negara mencukupi.
“Kalau kita bergantung kepada makanan import, ia akan menjadikan negara ini secara teknikalnya bakal menghadapi kebankrapan.
“Jika kita dapat selamatkan RM60 bilion ini, lebih tepat, RM62 bilion melalui pengeluaran makanan tempatan, bukan sahaja kita dapat kurangkan pertukaran asing tetapi juga dapat merangsang ekonomi domestik,” katanya.
Beliau yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah Malaysia berkata demikian dalam sidang media selepas menyaksikan Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara Lembaga Kemajuan Johor Tenggara (Kejora) dan Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) di sini hari ini, yang turut disaksikan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu.
Ahmad Zahid berkata semua agensi pembangunan wilayah di bawah Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) perlu bekerjasama dengan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) untuk membantu negara mengurangkan kebergantungan import makanan.
“Hal yang sedemikianlah kita mesti proaktif bukan sahaja dari segi agromakanan tetapi juga ternakan, dan tentunya usaha-usaha ini mesti dilakukan dengan cara holistik,” katanya. – Bernama