ISLAMABAD, 30 OGOS – Ribuan orang mengadakan perhimpunan di seluruh Pakistan hari ini dalam satu demonstrasi besar-besaran bagi membantah tindakan Delhi di Kashmir, bahagian yang ditadbir India, dalam satu bantahan awam terbesar yang menyasarkan India dalam tempoh beberapa tahun.
Pada tengah hari, siren dibunyikan di seluruh negara, diikuti dengan penyiaran lagu kebangsaan Pakistan dan Kashmir, sementara lalu lintas dihentikan selama beberapa minit sebagai perpaduan dengan perhimpunan itu.
Di Islamabad, ribuan berkumpul di Constitution Avenue, di depan pejabat-pejabat kerajaan di mana Perdana Menteri Imran Khan memberikan ucapan dan berikrar untuk terus memperjuangkan Kashmir sehingga wilayah itu ‘bebas’.
“Kami akan berjuang bersama Kashmir hingga nafas terakhir,” kata Khan, sementara melancarkan serangan mulut ke atas Perdana Menteri India, Narendra Modi serta membandingkannya dengan pentadbiran Third Reich, Nazi Jerman.
Demonstrasi itu merupakan yang pertama bagi perhimpunan mingguan yang akan diadakan di seluruh negara sehingga Khan berlepas ke New York bulan depan bagi menghadiri Perhimpunan Agung Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), di mana dia berikrar untuk menimbulkan isu Kashmir.
Ketegangan meningkat antara kedua-dua buah negara di tengah-tengah tindakan Modi untuk menarik status autonomi Kashmir di bahagian India dan meletakkannya di bawah pemerintahan Delhi.
Kawasan itu ketika ini berada dalam minggu keempatnya di mana komunikasi diputuskan dan kawalan ketat bagi sebarang pergerakan. Ribuan orang telah dipenjarakan semasa tindakan keras itu, menurut beberapa sumber kepada AFP.
Beberapa minggu sejak tindakan itu, Khan telah melancarkan serangan diplomatik ke atas Delhi, dan berikrar untuk menentang India ‘hingga akhir’ sekiranya diserang. – AFP
