Oleh Sim Y. H.
BANDAR SERI BEGAWAN, 30 APRIL – Pemasangan gelang tangan khas, iMSafe bagi mereka yang ditempatkan di bawah Perintah Kuarantin adalah untuk memantau per-gerakan bagi memastikan keberadaan mereka serta untuk memastikan mereka tidak melanggar arahan kuarantin yang diberikan.
Sebelum ini, mereka yang ditempatkan di bawah Perintah Kuarantin akan dihubungi oleh pegawai yang bertugas sebanyak dua hingga tiga kali sehari tetapi dengan adanya gelang khas berkenaan, ia akan menambahkan lagi keyakinan orang ramai serta memastikan bahawa mereka yang dikuarantin itu berada di tempat yang sepatutnya.
Perkara berkenaan dijelaskan oleh Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohammad Isham bin Haji Jaafar ketika menerangkan lanjut mengenai iMSafe semasa Sidang Media Status Terkini Jangkitan COVID-19 di Negara Brunei Darussalam yang berlangsung di Dewan Al-‘Afiah, Kementerian Kesihatan, hari ini.
Beliau menerangkan lanjut bahawa jika mereka yang memakai gelang khas itu keluar dari tempat yang sepatutnya atau tempat mereka dikuarantin, ia akan mengeluarkan isyarat amaran kepada pihak Pasukan Polis Diraja Brunei (PDB).
Pemakaian gelang khas berkenaan, jelasnya lagi, adalah bagi mereka yang dikuarantin pada masa ini di mana mereka yang memakai gelang khas berkenaan dimestikan untuk memasangkan fungsi bluetooth pada telefon bimbit pintar mereka setiap masa dan setelah menamatkan tempoh kuarantin, gelang berkenaan akan ditanggalkan.

– Gambar serahan Kementerian Kesihatan

Sementara itu, kenyataan yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan, menyatakan bahawa pihak kementerian memperkenalkan satu lagi kaedah baharu untuk memantau dan mengesan secara dari jauh (remote) bagi orang-orang yang ditempatkan di bawah Perintah Kuarantin di negara ini menurut Akta Penyakit Berjangkit Penggal 204.
Kaedah baharu yang dinamakan iMSafe, menggunakan gelang tangan khas yang dihubungkan dengan sistem pemantauan IOT real-time monitoring and tracking bagi memantau pergerakan dan keberadaan pemakai gelang tangan iMSafe berkenaan.
Gelang tangan itu mengandungi bluetooth chip locator dan kod QR yang dikhaskan bagi setiap gelang tangan bagi tujuan pemantauan, yang akan diaktifkan setelah pengguna gelang tangan iMSafe tiba di lokasi tempat tinggal atau kuarantin.
Daripada aspek pemantauan oleh pihak-pihak berwajib, sistem iMSafe itu bukan sahaja akan membolehkan pihak Kementerian Kesihatan dan pihak PDB untuk memantau dan mengesan mereka yang ditempatkan di bawah Perintah Kuarantin, malah ia juga akan membantu dalam kepatuhan orang ramai khususnya para pengguna gelang tangan iMSafe terhadap arahan Perintah Kuarantin.
Sistem iMSafe mempunyai beberapa ciri seperti dashboard yang mempamerkan nama-nama dan keberadaan mereka yang ditempatkan di bawah Perintah Kuarantin, laporan dan status pengguna gelang tangan iMSafe serta sistem amaran (alert system).