KUALA LUMPUR, 10 JULAI – Indonesia, Malaysia dan Thailand kekal komited untuk memajukan integrasi segitiga pertumbuhan ekonomi subserantau tiga negara (IMT-GT) sebagai pendekatan utama bagi menyerap kesan ketidaktentuan global serta memperkukuh kestabilan dan ketahanan serantau.
Ketua Pengarah Jabatan Penerangan dan Kementerian Luar Thailand, Nikorndej Balankura berkata komitmen itu ditegaskan oleh beberapa menteri semasa Mesyuarat Menteri-menteri Luar ASEAN (AMM) ke-58, dengan menekankan keperluan penglibatan lebih aktif dalam kerjasama politik, ekonomi dan perdagangan di tengah-tengah ketidaktentuan geopolitik yang berterusan.
“Ketidaktentuan ekonomi global dan pandemik telah menjejaskan pertumbuhan serta memperlahankan sedikit kemajuan IMT-GT.
“Namun, IMT-GT terus memacu integrasi subserantau sebagai strategi untuk mengurangkan kesan negatif risiko global dan memperkukuh ketahanan serantau, memberi manfaat kepada ketiga-tiga negara dalam ketidaktentuan geopolitik ini,” katanya kepada Bernama dalam temu bual di sela-sela AMM ke-58 dan mesyuarat berkaitan di Kuala Lumpur. Beliau menambah bahawa keterhubungan, termasuk aspek fizikal dan perisian, kekal menjadi cabaran ketara bagi ketiga-tiga negara dalam segitiga pertumbuhan tersebut. – Bernama
