Friday, July 5, 2024
23.2 C
Brunei

    -

    Imuniti Trump: Biden kecam keputusan Mahkamah Agung

    WASHINGTON, 2 JULAI – Presiden Joe Biden memberi amaran kelmarin bahawa keputusan penting Mahkamah Agung Amerika Syarikat (AS) mengenai imuniti presiden mewujudkan ‘contoh berbahaya’ yang akan dieksploitasi oleh Donald Trump jika dipilih pada November.

    Mahkamah tinggi yang didominasi konservatif memutuskan bahawa Trump – dan semua presiden – menikmati ‘kekebalan mutlak’ daripada pendakwaan jenayah untuk ‘tugas rasmi’ yang dilaksanakan semasa memegang jawatan, tetapi masih boleh menghadapi hukuman jenayah untuk ‘tugas tidak rasmi’.

    “Untuk semua tujuan praktikal, keputusan hari ini (1 Julai) hampir pasti bermakna tiada had kepada apa yang boleh dilakukan oleh seorang presiden. Ini pada asasnya prinsip baharu, dan ia adalah satu duluan yang amat berbahaya,” kata Biden semasa menyampaikan ucapan di Rumah Putih.

    Trump menghadapi tuduhan-tuduhan jenayah atas percubaannya untuk mengubah keputusan kekalahannya dalam pilihan raya 2020 kepada Biden, tetapi perbicaraan itu telah ditangguhkan sementara Mahkamah Agung mempertimbangkan tuntutan kekebalannya.

    Keputusan 6-3 pada Isnin, berpecah berdasarkan dasar ideologi, dijangka akan melambatkan lagi prosiding dalam kes itu, hampir pasti sehingga selepas pengundi membuang undi pada November.

    “Rakyat Amerika mesti memutuskan sama ada mereka mahu mengamanahkan … sekali lagi, jawatan presiden kepada Donald Trump, kini mengetahui dia akan lebih berani untuk melakukan apa sahaja yang dia mahu, bila-bila masa dia mahu melakukannya,” kata Biden.

    Ketua Hakim Negara, John Roberts, dalam pendapat majoritinya, berkata bahawa seorang presiden ‘terkecuali daripada tindakan undang-undang’ tetapi mempunyai ‘kekebalan mutlak’ daripada pendakwaan jenayah atas tugas rasmi yang dilakukan semasa memegang jawatan.

    “Oleh itu presiden mungkin tidak didakwa kerana melaksanakan kuasa utama perlembagaan nya,” kata Roberts.

    “Bagi perbuatan tidak rasmi presiden, tidak adanya kekebalan,” tambah ketua hakim negara itu, menghantar semula kes berkenaan ke mahkamah rendah untuk menentukan pertuduhan mana satu yang dihadapi Trump melibatkan tugasan rasmi atau tidak rasmi. – AFP

    Presiden AS Joe Biden menyampaikan ucapan mengenai keputusan imuniti Mahkamah Agung di Cross Hall, Rumah Putih di Washington, DC pada 1 Julai. – AFP
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Waktu sarapan McDonald’s Australia dipendekkan

    SYDNEY, 4 JULAI – Rangkaian makanan segera McDonald’s di Australia telah memendekkan waktu perkhidmatan sarapan akibat kekurangan bekalan telur berikutan wabak selesema burung yang...