In-Fa badai timur China

NINGBO, CHINA, 25 JULAI – Taufan In-Fa menumbangkan pokok-pokok dan membanjiri komuniti-komuniti hingga paras lutut di beberapa bahagian timur China namun tidak ada laporan mengenai kemusnahan teruk ketika ia membadai hari ini.

Operasi di laut, udara dan kereta api telah ditutup di seluruh pantai yang berpusat di pelabuhan perkapalan utama Ningbo, di mana taufan yang semakin melemah membadai ke daratan sekitar tengah hari dengan membawa angin kencang sehingga 38 meter sesaat, menurut Pentadbiran Meteorologi China.

Pasukan tindakan di Ningbo membersihkan pokok-pokok tumbang di pusat bandar, sementara penduduk di kawasan kejiranan meredah banjir sementara peniaga melonggokkan beg pasir di hadapan kedai mereka untuk menyekat banjir.

Taufan melanda ketika wilayah tengah Henan masih lagi menjalankan pembersihan selepas hujan berterusan dalam masa tiga hari minggu lalu.

Para pegawai kerajaan hari ini menambah lima lagi maut akibat bencana itu di Henan, meningkatkan jumlahnya kepada 63.

Seorang lelaki menyorong skuter semasa meredah jalan dibanjiri di kawasan kejiranan Ningbo, wilayah Zhejiang, timur China pada 25 Julai. – AFP

Kesan In-Fa juga dapat dirasakan kelmarin di metropolis Shanghai, bandar terbesar China, dengan angin kencang bersama hujan renyai-renyai.

Semua penerbangan masuk dan keluar telah dibatalkan hari ini di dua lapangan antarabangsa bandar itu, manakala puluhan kereta api, aktiviti di pelabuhan Shanghai dan Ningo juga telah ditutup.

Kerajaan mengumumkan ia akan melanjutkan penangguhan perkhidmatan kereta api keluar dan masuk Shanghai sehingga tengah hari esok.

Beberapa tarikan pelancongan di Shanghai dan bandar lain, termasuk Shanghai Disneyland juga ditutup dengan orang awam diberi amaran untuk mengelak sebarang aktiviti luaran. – AFP